?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

1001 Dugaan, Alicia akhirnya genggam ijazah Sarjana

Oleh Balqis Bakri

 

 

SERDANG, 1 Disember - Di sebalik senyuman manis dan raut wajah unik berdarah kacukan Jerman-Punjabi-Cina, tersimpan perjalanan hidup penuh luka dan air mata yang akhirnya membawa Alicia Ngiam ke pentas Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-49 sebagai graduan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling).

 

Bagi Alicia, kejayaan menggenggam segulung ijazah sarjana bukan sekadar pencapaian akademik, sebaliknya kemenangan besar selepas melalui siri ujian hidup yang dilaluinya hampir bersendirian.

 

Mengimbau detik hitam ketika berusia 12 tahun, Alicia pernah terlibat dalam kemalangan ngeri yang hampir meragut nyawanya dan mengubah perjalanan hidupnya buat selama-lamanya.

 

“Dalam kemalangan itu, paru-paru kanan dan buah limpa saya rosak. Saya kehilangan kira-kira 75 peratus darah dan buku lali kanan turut terseliuh teruk. Walaupun terselamat daripada maut, ujian hidup saya tidak berakhir di situ,” katanya.

 

Beliau berkata, selepas kejadian itu, keluarganya berdepan pula tekanan kewangan yang berat, lebih-lebih lagi selepas pemergian ayah tercinta. Kekangan tersebut memaksanya melepaskan tawaran untuk mengikuti pengajian dalam bidang Perubatan di sebuah universiti awam.

 

“Impian untuk menjadi doktor terpaksa saya kuburkan kerana keadaan kewangan keluarga. Itu antara keputusan paling sukar dalam hidup saya,” ujarnya.

 

Namun, Alicia tidak membiarkan kesakitan fizikal dan kesempitan hidup mematahkan semangatnya. Sebaliknya, beliau memilih untuk bangkit dan mencipta laluan baharu dalam dunia pendidikan, kaunseling dan kerja kemanusiaan.

 

Selain cemerlang dalam pengajian, Alicia aktif dalam kerja sukarelawan bersama Mercy Malaysia dan merupakan seorang penulis yang telah menghasilkan empat buah buku, sekali gus memperlihatkan keluasan bakat dan komitmennya untuk memberi manfaat kepada masyarakat.

 

Ketokohan dan komitmennya turut diiktiraf apabila beliau menerima gelaran Certified Chief Happiness Officer (AU), satu pengiktirafan yang mencerminkan peranannya dalam membawa nilai kesejahteraan emosi kepada orang sekeliling.

 

Dalam nada sebak, Alicia mendedikasikan kejayaan akademiknya kepada dua insan paling bermakna dalam hidup, ibunya yang sedang bergelut dengan masalah kesihatan dan adiknya yang kini turut sakit.

 

“Ijazah ini adalah untuk mak dan adik. Selama ini saya banyak berjuang sendirian, menanggung kos dan belajar sendiri di rumah, tetapi hari ini saya buktikan saya mampu lakukannya demi mereka,” katanya.

 

Alicia turut menzahirkan penghargaan mendalam kepada barisan pensyarah dan pihak fakulti yang menjadi tulang belakang kejayaannya di UPM.

 

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada Dr Asmah Ismail, Ketua Jabatan saya Dr Asyraf Che Ahmad, serta Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan, Prof Madya Dr Wan Marzuki atas segala tunjuk ajar.

 

“Tidak dilupakan juga penyelia latihan industri saya, Encik Zaim, yang banyak membimbing saya sehingga berjaya menamatkan pengajian ini,” katanya.

 

“Bagi saya, walau seberat mana pun dugaan, dengan semangat yang kuat, sokongan orang sekeliling dan keyakinan diri, kita masih boleh mengubah takdir hidup,” kata Alicia dengan senyuman.

WYMHJAj~