?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Adik-beradik UPM rai kejayaan bersama di pentas konvokesyen

Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim

 

 

SERDANG, 3 Disember - Detik konvokesyen di Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi lebih istimewa bagi dua beradik, Leong Min Juin, 26, dan adiknya, Leong Min Yan, 24, apabila kedua-duanya menamatkan pengajian dalam bidang berkaitan alam sekitar di fakulti yang sama, sekaligus merealisasikan impian keluarga untuk melihat mereka naik pentas konvokesyen bersama.

 

Min Juin bergraduasi dalam program Bacelor Sains Perhutanan dengan Kepujian, manakala Min Yan menamatkan pengajian dalam Bacelor Sains dan Teknologi Alam Sekitar dengan Kepujian, masing-masing di Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, UPM.

 

Berkongsi mengenai perjalanan akademik mereka, Min Juin berkata kecintaannya terhadap alam sekitar telah berputik sejak kecil.

 

“Saya sentiasa rasa lebih bertenang apabila berada di hutan. Sebab itu saya pilih bidang perhutanan, saya mahu memahami bagaimana hutan diurus dan dipelihara, selain menyumbang sesuatu yang bermakna kepada kelestarian alam sekitar,” katanya.

 

Beliau mengakui tidak menyangka akan berada di fakulti yang sama kerana masing-masing mempunyai minat dan laluan akademik yang berbeza pada peringkat awal.

 

“Tarikh konvokesyen kami berbeza satu hari dan keluarga kami akan hadir dua kali. Ini pengalaman yang sangat bermakna kerana mereka dapat meraikan kejayaan kami secara dekat, seorang demi seorang.

 

“Keluarga kami sangat bangga dan terharu melihat usaha serta pencapaian kami diiktiraf,” ujarnya.

 

Bagi Min Yan pula, kejayaan menamatkan pengajian dalam bidang Sains dan Teknologi Alam Sekitar adalah impian yang sekian lama dipupuk, lebih-lebih lagi apabila isu perubahan iklim dan pencemaran semakin mendapat perhatian global.

 

“Bidang ini memberi saya peluang memahami isu alam sekitar dan mencari penyelesaian yang praktikal bagi memelihara ekosistem kita.

 

“Walaupun hari konvokesyen saya tidak sama dengan kakak, saya tetap berasa gembira kerana dapat berkongsi kegembiraan ini dengan keluarga,” katanya.

 

Bagi dua beradik ini, konvokesyen bukan sekadar simbol tamat pengajian, tetapi detik pengiktirafan terhadap doa ibu bapa, kerja keras dan saling menyokong antara satu sama lain untuk sama-sama menyumbang kepada masa depan alam sekitar negara.

WYMHLA5~