
Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim
SERDANG, 1 Disember - Di sebalik kehidupan serba sederhana sebagai anak Felda, kehilangan ibu pada usia muda, memikul tanggungjawab keluarga dan bekerja sepenuh masa, Elie Shahana Embros, 29, tetap teguh melangkah hingga berjaya menamatkan pengajian Sarjana Kaunseling di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Anak kelahiran Felda Raja Alias 4, Jempol, Negeri Sembilan itu kehilangan ibu tercinta akibat kanser usus ketika berusia 19 tahun. Kini beliau tinggal bersama ayahnya yang berusia 76 tahun dan kakak Orang Kurang Upaya (OKU), manakala abangnya menetap di Sabah.
Meskipun sarat dengan tanggungjawab keluarga dan kerjaya, Elie membuktikan bahawa kekurangan bukan alasan untuk berhenti mengejar impian.
Beliau mempunyai latar belakang pendidikan dalam syariah dan undang-undang, termasuk Diploma Pascasiswazah Guaman Syarie, dan kini berkhidmat sebagai peguam syarie. Namun, minatnya dalam bidang kaunseling tidak pernah pudar.
“Saya memang meminati bidang kaunseling sejak zaman sekolah menengah lagi.
“Walaupun telah berkhidmat sebagai peguam syarie, keinginan saya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kaunseling tetap kuat.
“Sebaik sahaja mengetahui bahawa saya layak menyambung sarjana tanpa asas kaunseling, saya sedar inilah ruang untuk kembali mengejar cita-cita yang pernah tergendala,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman sebagai peguam syarie mendedahkan beliau kepada banyak kes melibatkan emosi dan konflik rumah tangga seperti perceraian, hak jagaan anak dan harta sepencarian.
“Ilmu kaunseling sangat membantu saya memahami emosi klien dan menangani konflik dengan lebih baik.
“Kadang-kadang kita bukan sekadar menguruskan dokumen mahkamah, tetapi menjadi tempat mereka berpaut untuk mencari kekuatan dan bimbingan,” jelasnya.
Namun, perjalanan menyambung pengajian sambil bekerja sepenuh masa bukanlah sesuatu yang mudah. Setiap hari Elie bekerja dari jam 8 pagi hingga 5 petang di Seremban sebelum memandu ke UPM bagi menghadiri kuliah pada waktu malam.
“Ada kalanya saya perlu ke mahkamah di Kuala Lumpur atau Selangor, kemudian terus bergegas ke kelas di Serdang. Selalunya saya sampai rumah lewat malam.
“Memang memenatkan, tetapi kerana minat yang mendalam, segala kepenatan itu terasa berbaloi,” ujarnya.
Beliau menambah, pengajian dalam bidang kaunseling telah mengubah cara pandangnya terhadap manusia dan kehidupan.
“Saya belajar bahawa tingkah laku seseorang banyak dipengaruhi cara mereka berfikir dan latar belakang pembesaran mereka.
“Ia menjadikan saya lebih empati, tidak cepat menghukum dan lebih berhati-hati dalam mendengar dan memahami,” katanya.
Elie turut menjelaskan bahawa keperluan kaunseling dalam bidang guaman kini semakin penting kerana komunikasi yang baik antara peguam, klien dan pihak mahkamah dapat membantu mencapai penyelesaian yang lebih efektif dan harmoni.






