?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Anak Kampung Sekinchan tekad bina kerjaya dalam bidang kesihatan haiwan

Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim





BINTULU, 1 November – Minat mendalam terhadap penjagaan dan kesejahteraan haiwan menjadi pendorong utama Muhammad Izz Wan Ahmaddul Badawi, 21, untuk menceburi bidang Kesihatan Haiwan dan Penternakan, sekali gus membina kerjaya yang dekat di hatinya.

Anak kampung yang berasal dari Sekinchan, Selangor ini kini melangkah ke fasa baharu dalam hidupnya sebagai Pembantu Veterinar setelah menamatkan pengajian Diploma Kesihatan Haiwan dan Penternakan di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPM Sarawak).

“Saya anak kampung biasa yang merantau ke Nilai, Negeri Sembilan untuk mengejar impian. Sejak kecil, saya memang sukakan haiwan dan ingin menjaga mereka dengan cara yang betul,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen UPM ke-49 Sidang 1, di sini, hari ini.

Menurutnya, pemilihan bidang ini bukan dibuat secara kebetulan, tetapi hasil minat yang mendalam terhadap aspek penjagaan dan kesejahteraan haiwan.

“Saya memilih bidang ini kerana saya ingin memahami dengan lebih mendalam tentang kesihatan dan tingkah laku haiwan. Ia bukan sekadar tentang merawat fizikal, tetapi juga tentang empati dan tanggungjawab terhadap makhluk hidup,” jelasnya.

Tambah Izz Wan, pekerjaan dalam bidang kesihatan haiwan menuntut kesabaran, kasih sayang dan kepekaan terhadap emosi haiwan yang dirawat.





“Haiwan juga ada perasaan. Mereka perlu dirawat dengan kasih sayang, bukan hanya apabila mereka sakit. Dalam bidang ini, kita belajar untuk memahami dan menghargai makhluk lain dengan lebih mendalam,” katanya.

Selain aktif dalam bidang veterinar, Izz Wan turut dikenali di media sosial apabila video teka-teki bersama ibunya tular kerana penyampaiannya yang lembut dan bersahaja, mencuri perhatian ramai netizen.

“Saya tidak sangka video itu boleh tular kerana pada saya ia hanyalah kandungan biasa. Ramai yang memberi komen positif, dan saya anggap itu rezeki dunia media sosial,” katanya sambil tersenyum.

Bagi Izz Wan, kejayaan yang diraih hari ini bukan semata-mata hasil usaha sendiri, tetapi juga berkat doa dan sokongan keluarga. Beliau berharap kisahnya dapat menginspirasikan anak muda untuk berani mengejar impian walau bermula dari kampung kecil.

“Asal-usul bukan penghalang untuk berjaya. Yang penting ialah kesungguhan, minat dan keberanian untuk terus belajar,” ujarnya penuh semangat.

WYLCVAX~