Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim
Foto: Muhammad Nur Zairi Mohd Nazari
SERDANG, 11 Julai - “Teruskan mencuba pelbagai perkara, jangan pernah berputus asa kerana setiap orang mempunyai kekuatannya sendiri,” katanya.
Ali Fahmi Hasan Fahmi, 18, merupakan seorang pelajar mild autism yang bakal memulakan langkah pertamanya dalam dunia pendidikan tinggi menerusi Program Asasi Sains Putra di Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Pemilihan program serta universiti ini merupakan pilihan pertama saya kerana tidak jauh dari keluarga dan saya ingin mengejar impian saya sebagai doktor haiwan.
“Saya tahu bahawa UPM mempunyai reputasi yang baik dalam bidang sains pertanian dan veterinar,” ujarnya.
Ali merupakan seorang anak tunggal dalam keluarganya dan keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membawa dia bertempat di sini.
“Saya memperoleh 9A dalam peperiksaan SPM dalam jurusan Sains Tulen dan pada waktu itu saya lebih yakin dalam mengejar cita-cita.
“Saya mahu bekerja dalam bidang veterinar supaya dapat membantu haiwan yang sakit dan tidak terjaga,” katanya.
Ali juga menyatakan bahawa cabaran yang dimilikinya bukanlah satu halangan untuk mengejar impian, malah saya menjadi pemangkin semangat untuk terus berusaha.
“Saya tidak mahu kekurangan ini dijadikan alasan untuk tidak berjaya dan percaya setiap orang mempunyai cabaran masing-masing,” katanya.