?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Anis bangkit bergraduat tepis rasa rendah diri

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

 

SERDANG, 4 November - Dilahirkan dengan keadaan cleft palate (sumbing) tanpa bahagian lelangit dan pernah bergelut dengan rasa rendah diri serta ejekan sejak kecil, Anis Atiqah Abd Rahman, 23, hari ini berjaya menamatkan pengajian sebagai graduan Pengajian Makanan Dengan Kepujian, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, pada Majlis Konvokesyen UPM ke-49.

 

Anis menjadikan pentas konvokesyen UPM sebagai saksi kepada kejayaan dalam perjalanan hidupnya, daripada kanak-kanak yang takut bersuara kepada graduan yang yakin menyampaikan pandangan.

 

“Pengalaman di sekolah rendah dan menengah adalah antara fasa paling sukar dalam hidup saya. Pertuturan saya tidak jelas, dan saya sering diejek. Itu sangat menjejaskan keyakinan diri,” katanya ketika ditemui.

 

Menurut Anis, titik perubahan bermula apabila beliau melanjutkan pengajian di UPM dan mendapat sokongan daripada Unit Perkhidmatan dan Sokongan OKU UPM sejak peringkat asasi.

 

“Unit OKU bukan sahaja membantu saya dari sudut akademik, tetapi juga menjadi tempat yang memulihkan keyakinan saya. Mereka sentiasa melibatkan saya dalam program universiti dan dari situ saya berani untuk lebih ke hadapan, termasuk dalam persatuan mahasiswa OKU,” jelasnya.

 

Anak sulung daripada empat beradik itu mengakui, keputusannya menyambung pengajian di universiti adalah bentuk penghargaan kepada kedua ibu bapanya yang tidak pernah berhenti memberi dorongan walaupun berdepan cabaran kewangan dan emosi.

 

“Saya tidak mahu sia-siakan masa saya begitu sahaja. Menyambung pengajian di UPM adalah keputusan terbaik dalam hidup saya dan hadiah buat ibu bapa yang sentiasa percaya dengan kemampuan saya,” katanya.

 

Bagi Anis, UPM bukan sekadar institusi pengajian, tetapi ruang yang menghidupkan semula keyakinan diri melalui program, interaksi dan peluang penglibatan pelajar yang tersusun.

 

“UPM menjadikan saya ‘lebih hidup’. Di sini saya belajar untuk berkomunikasi dengan lebih yakin, bekerjasama dalam kumpulan dan berhadapan dengan orang ramai tanpa lagi terlalu memikirkan kekurangan diri,” katanya.

 

Beliau turut menyeru mahasiswa lain, khususnya yang mempunyai kekangan fizikal atau emosi, agar tidak takut memanfaatkan peluang yang ada di kampus.

 

“Saya berharap pelajar UPM berani keluar dari zon selesa dan menerokai kehidupan di kampus hijau ini. Di sinilah mereka boleh mengasah kemahiran insaniah dan membina keyakinan dalam setiap perkara yang dilakukan,” katanya.

WYMHOAP~