?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Atlet emas Judo genggam skrol ijazah

Oleh: Muhammad Nur Syazwan Wafiy Mohd Aseri

 

 

SERDANG, 3 Disember - Ketika sebahagian besar graduan menumpukan sepenuh perhatian kepada peperiksaan dan tugasan akhir, Nur Farah Izzati Wallah, 24, memilih jalan yang lebih mencabar dengan mengimbangi jadual kuliah, latihan sukan berintensiti tinggi dan tanggungjawab kokurikulum, sebelum akhirnya berjaya menggenggam ijazah Bacelor Komunikasi dengan Kepujian dari Universiti Putra Malaysia (UPM) serta pingat emas judo di pentas antarabangsa.

 

Graduan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) itu bukan sahaja menamatkan pengajian dengan penuh bergaya, malah mengharumkan nama negara apabila membantu Malaysia meraih pingat emas pertama dalam acara judo pada ASEAN University Games (AUG) 2024.

 

“Saya sendiri tidak menyangka akan menang emas. Saya hanya berharap dapat menyumbang pingat, tetapi Allah beri rezeki yang luar biasa. Segala pengorbanan akhirnya berbaloi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen UPM ke-49 di sini, hari ini.

 

Anak kelahiran Perak itu mula berkecimpung dalam sukan judo sejak Tingkatan 1 sebelum meneruskan latihan secara profesional di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI). Menyambung pengajian di UPM, Farah tidak hanya meneruskan minat dalam judo, malah turut aktif dalam ragbi dan Kor Sukarelawan Polis (Kor Suksis).

 

Perjalanan itu menuntut disiplin tinggi, pengorbanan masa dan pengurusan jadual yang teliti.

 

 

“Saya sentiasa ingat pesan ayah tentang ketegasan dan disiplin, dan daripada ibu saya belajar ketabahan. Nilai itulah yang memandu saya sepanjang tempoh pengajian dan latihan,” jelasnya.

 

Di sebalik kejayaan di gelanggang, Farah tidak pernah meminggirkan akademik. Program Komunikasi di FBMK, ujarnya, banyak membentuk kemahiran profesional yang digunakan dalam kehidupan seharian.

 

“Apabila saya urus program atau berkomunikasi dengan pihak luar semasa latihan industri, saya sedar kemahiran yang saya belajar di FBMK sangat relevan.

 

“Perkara yang saya lakukan di gelanggang seperti disiplin, fokus dan strategi sebenarnya selari dengan apa yang dituntut dalam dunia komunikasi profesional,” katanya.

 

Menggalas tanggungjawab sebagai pelajar dan aktif kokurikulum bukan sesuatu yang mudah. Namun bagi Farah, cabaran itulah yang membentuk ketahanan mental dan kematangan diri.

 

“Ada hari saya betul-betul penat. Tapi saya ingat kembali tujuan saya. Setiap cabaran adalah proses pembentukan karakter. Selagi niat kita baik, Allah permudahkan,” ujarnya.

 

Beliau turut berkongsi bahawa selain sokongan keluarga, rakan-rakan dan jurulatih, aktiviti seperti mendengar podcast ilmiah serta meluangkan masa bersendirian membantu memulihkan mental dan emosi sepanjang tempoh yang mencabar.

 

Farah mendedikasikan kejayaan hari ini kepada ibu bapa, rakan seperjuangan serta semua jurulatih dan pensyarah yang sentiasa memberi dorongan.

 

“Berilmu Berbakti bukan sekadar moto, tetapi cara hidup. Segala yang kita pelajari dan lalui di UPM sama ada di kelas, di gelanggang atau dalam Masyarakat, semuanya membentuk siapa kita hari ini,” katanya.

WYMHJA3~