
Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim
SERDANG, 1 Disember - Dilahirkan dengan mild autism bukan alasan bagi Muhammad Syazni Hanif Mohd Rafi, 25, untuk berputus asa dalam hidup. Sebaliknya, graduan Bacelor Kesusasteraan Inggeris dengan Kepujian dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu membuktikan bahawa keterbatasan boleh diatasi dengan sokongan, usaha dan keyakinan diri sehingga berjaya menonjol dalam akademik, kepimpinan dan kini bergelar pendidik.
Syazni mengetahui tentang keadaannya daripada ibunya, Rafizah Abdul Rahman, 52, ketika berusia sembilan tahun, namun hanya benar-benar memahami maksud mild autism sewaktu meningkat remaja.
“Saya mula tahu bahawa saya ada mild autism daripada ibu ketika berumur sembilan tahun. Saya benar-benar faham maksudnya ketika berusia sekitar 15 hingga 17 tahun,” katanya.
Membesar sebagai individu mild autism bukan perjalanan yang mudah, terutamanya dari aspek pergaulan dan interaksi sosial. Syazni mengakui pada awalnya beliau sukar bergaul dengan rakan sebaya, namun sedikit demi sedikit berjaya mengatasi halangan itu.
“Proses ini mengambil masa, tetapi dengan sokongan ibu dan kawan-kawan, saya dapat membina keyakinan diri dan perhubungan sosial yang lebih baik,” ujarnya.
Beliau menzahirkan penghargaan yang mendalam kepada ibunya, yang disifatkan sebagai tulang belakang utama di sebalik kejayaannya hari ini.
“Saya amat menghargai jasa dan pengorbanan ibu saya kerana tanpa beliau, saya tidak akan berada di tahap ini.
“Saya masih ingat ketika ibu berjuang supaya saya diterima bersekolah. Pada mulanya saya hampir tidak diterima kerana keadaan saya dianggap sebagai masalah pembelajaran. Selepas ibu membuat rayuan, saya diberi peluang menduduki ujian IQ dan saya berjaya mencatat skor 98 peratus, sekali gus melayakkan saya diterima berdasarkan merit,” jelasnya.
Cabaran tidak terhenti di bangku sekolah, sebaliknya berterusan hingga ke peringkat universiti, khususnya dalam kelas yang menuntut interaksi tinggi. Namun, minat mendalam terhadap Bahasa Inggeris serta kesediaan untuk terlibat dalam aktiviti kolej membantu beliau menyesuaikan diri.

Di UPM, Syazni bukan sahaja cemerlang dalam pengajian, malah aktif dalam kepimpinan apabila dipilih sebagai Ahli Majlis Perwakilan Kolej (MPK) Kolej Empat Belas, termasuk memegang jawatan sebagai Exco Kelestarian Hijau dan Kesukarelawanan.
“Saya membina ‘sense of duty’ sejak menjadi pengawas di sekolah menengah dan saya mahu terus menunaikan tanggungjawab itu sebagai MPK.
“Para felo dan rakan setugas banyak memberi kepercayaan dan tunjuk ajar, menjadikan saya lebih bersemangat untuk memimpin,” katanya.
Kini, Syazni mengajar di sebuah sekolah antarabangsa di Melaka, dengan hasrat untuk menyampaikan ilmu serta minatnya terhadap Bahasa Inggeris kepada generasi muda. Pada masa sama, beliau berharap kisahnya dapat menjadi inspirasi kepada kanak-kanak dan pelajar yang berada dalam spektrum autism.
“Saya ingin memberi semangat kepada mereka yang berada dalam autism spectrum supaya jangan mudah mengalah. Never back down, learn steadily and keep moving forward,” katanya.






