Oleh Auliyaa Putri Ulfan
Foto oleh Marina Ismail, Noor Azreen Awang & Mohd Hasrul Hamdan
SERDANG, 4 Nov – Dua beradik Tuan Zuzahirudin Tuan Zulkipli dan Tuan Zuzaimi berkongsi detik kegembiraan apabila mereka masing-masing menerima Ijazah Bacelor Sastera (Kesusasteraan Melayu) pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-41.
Meskipun berada dalam kuliah dan kelas yang sama sepanjang pengajian, Tuan Zuzahirudin, 25, dan adiknya Tuan Zuzaimi, 24, jarang diletakkan dalam tugasan berkumpulan yang sama.
“Bagaimanapun ketika mengulangkaji, kami melakukannya bersama. Kami belajar dan berbincang serta berkongsi nota,” kata Tuan Zuzahirudin.
Mengenai persaingan dalam pelajaran antara mereka, Tuan Zuzaimi pula berkata, mereka tidak bersaing tetapi saling membantu serta saling memberi sokongan dan galakan.
Pada semester pertama pengajian, katanya, kalangan rakan-rakan dalam kelas tidak mengetahui mereka adalah adik beradik, dan perkara itu hanya diketahui oleh rakan-rakan bermula semester kedua.
Mereka kini bekerja di sebuah syarikat yang sama, dan ketika ini mahu menumpukan kepada pekerjaan sebelum menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana. - UPM