?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Dua PhD, empat ijazah sarjana, Dr. Alif pilih UPM destinasi ilmu keempat

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

 

SERDANG, 2 Disember – Dua kali genggam skrol PhD dan memiliki empat ijazah sarjana, namun itu tidak halang Dr. Alif Jasni, 37, untuk kembali menuntut ilmu apabila memilih Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai destinasi keempat pengajian peringkat sarjana beliau.

 

Figura akademik yang pernah tular di TikTok kerana “rekod” pengajian tinggi yang panjang dan pelbagai ini melengkapkan satu lagi episod dalam hidupnya apabila bergraduat sebagai pemegang ijazah Sarjana Gender dan Pembangunan dari Fakulti Ekologi Manusia (FEM), UPM pada Majlis Konvokesyen UPM ke-49, hari ini.

 

Dr. Alif yang kini berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Universiti Utara Malaysia (UUM), berkata minat mendalam terhadap ilmu serta percaya seseorang perlu mempunyai sub-specialization mendorong beliau meneroka pelbagai disiplin.

 

“Ramai percaya bidang mesti ‘pure’, tetapi bagi saya ilmu perlu pelbagai. Dengan sub-specialization, kita tidak statik dan mampu melihat sesuatu isu dari pelbagai sudut,” katanya.

 

Meskipun sudah menamatkan dua pengajian kedoktoran, PhD Keadilan Jenayah di Universiti Malaya (UM) dan PhD Kerja Sosial di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), beliau menyifatkan pengajian sarjana di UPM sebagai pengalaman paling mencabar dalam laluan akademiknya.

 

“PhD saya di UM dan UKM hanya tiga tahun, tetapi di UPM mengambil masa empat tahun. Pernah saya mempersoalkan diri sendiri, adakah saya tidak cukup mahir dalam penyelidikan? UPM benar-benar mencabar saya ke tahap lebih tinggi,” ujarnya.

 

Sepanjang tempoh pengajian, beliau berulang-alik dari Kedah ke Kuala Lumpur bagi tugasan mengajar, membuat penyelidikan dan komitmen akademik sebagai pelajar.

 

Tesis beliau di UPM bertajuk “Kemiskinan, Feminisme dan Diskriminasi Gender: Gelandangan Residivis Wanita di Kuala Lumpur, Malaysia” bukan sahaja mengukuhkan kepakarannya dalam isu gender, malah melahirkan sebuah buku bertajuk Enigma Hidup Gelandangan Residivis Wanita.

 

“Saya dapat melihat isu gelandangan daripada lensa komunikasi, gender dan pembangunan. Perpaduan ilmu daripada pengajian terdahulu menjadikan penyelidikan saya lebih kuat,” katanya yang turut menerbitkan beberapa buku lain berkaitan gelandangan, bekas banduan serta pencegahan dadah.

 

Di sebalik deretan kejayaan akademik, Dr. Alif turut berdepan ujian kesihatan apabila disahkan menghidap Arnold Chiari Malformation, iaitu gangguan struktur pada otak dan saraf tunjang.

 

“Ada masanya saya mahu berhenti, tetapi bila dah mula belajar kita perlu konsisten. Saya belajar untuk mengurus dan mengatasi cabaran kesihatan ini,” katanya.

 

Anak sulung daripada empat beradik dan berasal dari Kuala Lumpur itu kini memiliki rangkaian kelayakan akademik merangkumi Ijazah Sarjana Muda Sains Politik, beberapa master dalam bidang serantau, keadilan jenayah dan komunikasi, dua PhD serta Diploma Pascasiswazah dalam Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Tinggi sebelum menambah Master Gender dan Pembangunan di UPM.

 

Mengulas pengalamannya di UPM, beliau memuji kecekapan dan komitmen pensyarah yang banyak membimbing sepanjang pengajiannya.

 

“Saya mendapat pengalaman berbeza di setiap universiti, tetapi UPM memberikan cabaran terbaik,” katanya.

 

Ketika ditanya mengenai golongan muda yang merasakan pengajian tinggi tidak membawa manfaat, Dr. Alif tegas menyatakan sebaliknya.

 

“Ilmu tidak pernah merugikan malah mematangkan cara kita berfikir dan menjadikan pemikiran lebih kritis. Ilmu yang saya kumpul membuka begitu banyak peluang positif dalam hidup saya,” katanya.

WYMHKAg~