Oleh: Noor Eszereen Juferi

SERDANG, 1 Disember – Kekurangan fizikal bukan penghalang graduan Orang Kurang Upaya (OKU) kerusi roda, Tan Guo Liang, 24, menamatkan pengajian Bacelor Sains Pembangunan Manusia Dengan Pengurusan, Fakulti Ekologi Manusia (FEM), Universiti Putra Malaysia (UPM), sekali gus membuktikan fasiliti inklusif di kampus mampu menyokong pelajar OKU belajar dengan yakin dan berdikari.
Tan, 24, yang menghidapi penyakit saraf Transverse Myelitis sejak berumur 11 tahun sehingga menyebabkan beliau lumpuh separuh badan dan bergantung kepada kerusi roda. Namun itu bukan penghalang baginya untuk melanjutkan pengajian ke ‘Menara Ilmu’ ini.
“Saya tekad untuk melanjutkan pengajian ke peringkat bacelor kerana saya sedar penting untuk meningkatkan kemahiran soft skill dan hard skill dalam dunia pekerjaan hari ini,” katanya.
Tambah beliau, pembelajaran di universiti bukan sahaja menambah ilmu akademik tetapi membentuk kemahiran komunikasi, penyelesaian masalah dan kepimpinan melalui penglibatan dalam aktiviti kampus.
“Pengalaman di universiti membuka pandangan lebih luas tentang hala tuju kerjaya dan memberi peluang menilai potensi diri dari perspektif lebih jauh dan mempersiapkan diri saya untuk masa depan,” katanya.
Tan turut berkongsi bahawa sokongan ibu bapa menjadi kekuatan utama sepanjang perjalanan akademiknya.
“Saya terharu dapat memenuhi impian mereka dan kejayaan saya hari ini merupakan hadiah buat mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Tan memuji kemudahan mesra OKU yang disediakan di UPM, yang disifatkannya sebagai antara fasiliti inklusif terbaik di Malaysia.
“Saya boleh katakan UPM berada pada tahap inklusif OKU yang tinggi berbanding banyak universiti lain. Laluan kerusi roda, lif, tandas khas dan kemudahan di kampus sangat membantu saya bergerak bebas tanpa bergantung kepada orang lain,” katanya.






