Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefinaa

SERDANG, 1 Disember - Di sebalik senyuman seorang graduan yang melangkah ke Dewan Besar pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-49, tersembunyi kisah perjuangan emosi yang panjang. Bagi Nor Amirah Solehah Ahmad Baijuri, 26, graduan Bacelor Sains Pembangunan Manusia dengan Pengurusan, Fakulti Ekologi Manusia (FEM), kejayaan menggenggam ijazah hari ini hadir selepas melalui episod kehilangan, kemurungan dan tanggungjawab berat sebagai anak sulung.
Pemergian ibu yang selama ini menjadi tulang belakang sepanjang pengajiannya meninggalkan kesan mendalam hingga menyebabkan Amirah mengalami masalah anxiety dan depression, sehingga beliau perlu mendapatkan rawatan di Klinik Psikiatri Hospital Pengajar UPM (HPUPM).
“Pengalaman itu sangat perit. Saya tidak mampu fokus. Namun saya masih kuat kerana kata-kata arwah ibu, ‘ingat kita ni orang susah, ibu abah tiada harta pusaka; pelajaran saja yang boleh ubah hidup kita’, dan itulah yang membuat saya bertahan,” katanya.
Ketidakstabilan emosi yang dialami memaksa Amirah menangguhkan pengajian selama satu semester bagi memberi ruang untuk memulihkan diri. Namun cabaran hidupnya tidak terhenti di situ.
Sebagai anak sulung, Amirah memikul tanggungjawab menjaga lima orang adik yang masih kecil. Kesedaran bahawa adik-adiknya bergantung penuh kepadanya menjadi dorongan utama untuk beliau bangkit semula walaupun berdepan tekanan berlapis.
“Kalau saya juga jatuh, siapa lagi mereka ada?” luahnya, yang sering mengingatkan diri untuk terus kuat biarpun laluan terasa sangat sukar.
Setahun selepas kehilangan ibu, Amirah mendirikan rumah tangga, satu fasa baharu yang banyak membantunya menstabilkan emosi dan kehidupan.
“Perkahwinan pada usia muda memberi ruang baharu untuk saya stabil. Dia bukan sekadar suami, tapi kawan yang saya ada sepanjang perjalanan ini. Ketika rakan-rakan lain sudah ke semester seterusnya, dialah yang sentiasa ada untuk menguatkan saya,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada UPM, khususnya para pensyarah dan penasihat akademik yang memahami situasinya. Kelulusan penangguhan pengajian sebanyak tiga kali memberinya ruang untuk mengurus emosi dan keluarga sebelum kembali fokus terhadap pelajaran.
“Penasihat Akademik saya yakin saya boleh berjaya walaupun saya sendiri rasa sebaliknya. Bantuan fakulti amat besar dan memberi ruang untuk saya bangkit semula,” ujarnya penuh terharu.
Kini, setelah melalui tempoh panjang yang sarat dengan kehilangan, sesi rawatan, krisis emosi dan tanggungjawab keluarga, Amirah akhirnya berdiri sebagai graduan, menggenggam ijazah yang menjadi simbol kekuatan dan ketabahannya.
Beliau menitipkan pesanan kepada pelajar lain yang mungkin sedang berdepan ujian hidup yang tidak dijangka.
“Kalau berlaku sesuatu di luar perancangan, itu mungkin yang terbaik untuk kita. Lapangkan dada, terus kuat dan jangan berhenti berusaha. Jatuhlah sebanyak mana pun, tetapi bangkitlah semula,” katanya.






