?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Graduan PhD Bongkar Potensi Sarang Walit, Raih Pengiktirafan Tertinggi

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin



SERDANG, 29 November – Di sebalik popularitinya sebagai “rahsia kecantikan kulit”, sarang burung walit kini terbukti berpotensi menjaga organ paling penting dalam tubuh manusia iaitu usus, menerusi penyelidikan seorang graduan PhD Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Tan Hui Yan.

Kajian tersebut bukan sahaja membuka dimensi baharu terhadap khasiat sarang burung walit, bahkan membawa beliau meraih pengiktirafan tertinggi apabila dianugerahkan Pingat Emas Malaysia Vaccines and Pharmaceuticals (MVP) bagi kategori Doktor Falsafah pada Majlis Konvokesyen UPM ke-49.

Minat mendalam Dr. Tan terhadap usus yang juga merupakan pusat utama sistem pertahanan badan. Ini mendorongnya memilih bidang Bioteknologi Makanan sebagai fokus pengajian doktor falsafah.

Beliau meneliti bagaimana bakteria baik berfungsi, bagaimana probiotik dan prebiotik menyokong keseimbangan mikrobiota, serta bagaimana “ekosistem kecil” dalam usus mempengaruhi kesihatan manusia dari hujung rambut hingga hujung kaki.

Tidak seperti kebanyakan graduan sains kesihatan yang bercita-cita menjadi doktor perubatan, Dr. Tan memilih laluan berbeza dengan menjadi penyelidik yang mencari jalan mencegah penyakit sebelum ia bermula, khususnya penyakit berpunca daripada pemakanan dan gaya hidup.

“Kenapa tunggu sakit baru dirawat? Saya mahu mencegah penyakit sebelum ia bermula. Itulah titik mula yang membentuk seluruh perjalanan PhD saya di UPM,” katanya.

Beliau percaya banyak penyakit bermula daripada usus dan memahami organ itu adalah kunci kepada pencegahan awal serta intervensi kesihatan jangka panjang.

Daripada minat itulah, Dr. Tan memberi tumpuan kepada sarang burung walit sebagai bahan semula jadi yang selama ini lebih sinonim dengan kecantikan kulit tetapi dilihatnya dari sudut yang berbeza, iaitu potensi terhadap kesihatan usus.




“Sarang burung walit mampu menyokong pertumbuhan bakteria baik dalam usus manusia, bertindak sebagai prebiotik semula jadi, meningkatkan imuniti dan berpotensi memainkan peranan dalam pencegahan kanser kolon,” jelasnya.

“Ramai orang menggunakannya untuk kecantikan kulit. Tetapi saya mahu tahu apa manfaatnya kepada organ paling penting iaitu usus,” tambahnya ketika ditemui selepas majlis penganugerahan pingat tersebut.

Penemuan itu melonjakkan impak penyelidikannya, menghubungkan minat awal terhadap usus dengan sumbangan saintifik yang lebih besar kepada bidang nutrisi, kesihatan dan pencegahan penyakit, sekali gus membuka ruang penggunaan sarang burung walit yang lebih melangkaui tujuan kosmetik.

Bagi Dr. Tan, penyelidikan usus bukan sekadar siri eksperimen di makmal. Ia adalah usaha jangka panjang untuk menyelamatkan masa depan kesihatan manusia melalui pemahaman yang lebih tepat dan pendekatan pencegahan yang lebih berkesan.

Di sebalik jubah dan topi konvokesyen yang disarung pada hari beliau bergraduat, tersirat tekad seorang penyelidik muda yang percaya bahawa menjaga usus hari ini boleh mengubah wajah kesihatan masyarakat pada masa hadapan.

 



WYMHJAK~