
Oleh: Noor Eszereen Juferi
SERDANG, 1 Disember - Graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) diseru supaya terus melonjakkan nama universiti di persada serantau dan antarabangsa dengan memainkan peranan aktif sebagai alumni sebaik sahaja meninggalkan kampus.
Pro Canselor UPM, Tan Sri Peter Chin Fah Kui, menegaskan bahawa alumni merupakan aset strategik yang mampu memperkukuh reputasi dan kecemerlangan universiti di mata dunia.
“Alumni merupakan komponen penting dalam melonjakkan kecemerlangan universiti pada peringkat serantau dan antarabangsa. Sebaik anda melangkah keluar daripada kampus ini, graduan secara automatik menjadi alumni UPM,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-49 Sidang 2 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM.
Beliau menekankan kepentingan hubungan yang berterusan antara alumni dan alma mater, selaras dengan budaya ‘memberi kembali’ kepada universiti.
“Saya berharap, selaku alumni yang matang, anda sentiasa menyokong usaha untuk memperkukuh dan mengeratkan hubungan dengan UPM. Konsep ‘kembali memberi’ atau giving back kepada universiti amatlah disanjung dan dihormati,” katanya.

Menurut beliau, pelbagai projek kerjasama antara alumni dan universiti telah dan sedang dirangka, termasuk pembangunan Menara Putra Warisan Budi, sebuah mercu tanda baharu UPM yang melambangkan penyatuan hati warga alumni.
“Sebagai simbol kerjasama baik antara alumni dengan alma mater UPM, pelbagai projek telah diusahakan dan lebih banyak lagi akan dirancang pada masa hadapan,” ujarnya.
Tan Sri Peter turut menegaskan komitmen UPM sebagai universiti berfokuskan penyelidikan yang memberi tumpuan kepada kajian berimpak tinggi, relevan dan menyokong visi serta misi universiti.
“UPM meletakkan usaha untuk memperkasakan penyelidikan yang relevan dan berimpak tinggi sebagai teras utama untuk mengangkat visi dan misi universiti ke tahap cemerlang,” katanya.
Melalui inisiatif yang berstruktur dan sistematik, beliau berkata UPM kini muncul antara universiti peneraju dalam bidang pengkomersialan teknologi, dengan sebanyak 270 harta intelek penyelidik UPM berjaya dikomersialkan di peringkat nasional dan antarabangsa, selain 80 syarikat pemula (start-up) ditubuhkan.
Antara inovasi yang mendapat perhatian ialah Mr MoleC, produk bio-repellent berasaskan tumbuhan yang mesra alam, tidak toksik dan lebih berkesan berbanding racun kimia.
“Inovasi ini bukan sahaja membantu petani meningkatkan hasil dan pendapatan, malah mengurangkan kebergantungan terhadap bahan kimia berbahaya,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa bangga atas usaha UPM memperkukuh peranan sebagai universiti peneraju keterjaminan makanan negara melalui penubuhan rangkaian Nexus Keterjaminan Makanan yang menggabungkan 20 universiti awam dan tujuh universiti swasta dalam pelaksanaan penyelidikan serta program kolaboratif.
“Atas komitmen ini, UPM telah diiktiraf untuk mengetuai ASEAN University Network for Agriculture and Food Security (AUN-AFS) sejajar dengan aspirasi universiti untuk mengangkat agenda kesihatan planet dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) sebagai keutamaan,” katanya.
Seruan Tan Sri Peter agar graduan terus berperanan aktif sebagai alumni dilihat seiring dengan kedudukan UPM sebagai universiti penyelidikan terkemuka, sekali gus menzahirkan harapan agar kecemerlangan yang dinikmati di kampus diteruskan dalam bentuk sumbangan, rangkaian dan kolaborasi di peringkat global.






