Oleh: Muhammad Nur Syazwan Wafiy Mohd Aseri

SERDANG, 1 Dis - Di ketika ramai merasakan usia 40-an bukan lagi waktu untuk kembali ke kampus, seorang guru, Kogilavani A/P Sockalingam, 41, membuktikan sebaliknya apabila berjaya menamatkan pengajian Master Instruksional dan Kurikulum Pendidikan di Universiti Putra Malaysia (UPM), sekali gus menjadi inspirasi bahawa usia bukan penghalang untuk terus cemerlang.
Berbekalkan lebih 18 tahun pengalaman dalam dunia pendidikan dan kini memegang jawatan sebagai Penolong Kanan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Rinching, kejayaan Cikgu Kogilavani diraikan sebagai pencapaian yang bukan sahaja membanggakan dirinya, malah menjadi pemangkin semangat kepada para guru dan golongan profesional yang masih ragu untuk menyambung pengajian.
“Pada usia 41 tahun, saya sedar bahawa ilmu tidak boleh terhenti hanya kerana kita sudah lama bekerja. Saya mahu menjadi pendidik yang benar-benar relevan dengan perubahan kurikulum semasa,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen UPM ke-49.
Mengimbas perjalanan pengajiannya sebagai pelajar separuh masa, beliau mengakui cabaran terbesar adalah menguruskan masa antara tuntutan kerjaya, keluarga dan tugasan universiti.
“Waktu siang saya sepenuhnya untuk murid dan program sekolah. Pada waktu malam, saya siapkan tugasan universiti. Hujung minggu pula saya manfaatkan untuk ulang kaji. Ada masanya saya langsung tidak cukup tidur,” kongsinya.

Namun di sebalik kekangan itu, disiplin dan ketekunan membuahkan hasil. Beliau berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh tiga semester dengan PNGK 3.94, sekali gus membuktikan bahawa komitmen yang konsisten mampu mengatasi keterbatasan masa.
Menurutnya, pengajian di peringkat sarjana mengubah sepenuhnya cara beliau merancang dan melaksanakan pengajaran dan pemudahcaraan (PdP) di bilik darjah. Beliau menyifatkan pengalaman meneruskan pengajian sebagai satu proses membina profesionalisme diri dan identiti sebagai pemimpin pendidikan yang lebih holistik.
Menutup bicara, Cikgu Kogilavani menitipkan pesanan kepada para pendidik dan golongan dewasa yang merasakan diri sudah ‘terlewat’ untuk kembali belajar.
“Tidak ada istilah terlambat untuk menuntut ilmu. Yang penting keberanian untuk bermula dan disiplin untuk bertahan. Jika saya boleh lakukannya pada usia 41 tahun, sesiapa pun boleh,” tegasnya.






