?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Ibu jadi sumber kekuatan, Nur Izzati bangkit selepas tragedi kemalangan jalan raya

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi




BINTULU, 1 November – “Kalau bukan kerana ibu, mungkin saya sudah berhenti belajar.” Itulah luahan jujur Nurul Izzati Qistina Shamsul, 20, pelajar Bacelor Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), yang pernah melalui detik hitam apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya sehari sebelum Aidilfitri, April tahun lalu.

Perjalanan pulang ke kampung halaman di Tawau, Sabah, bertukar tragedi apabila kereta yang dipandunya bersama adik bongsu terbabas di jalan berselekoh tajam ketika hujan lebat.

“Cermin depan berkabus, hujan terlalu lebat, dan tiba-tiba sebuah kereta dari arah bertentangan meluncur laju lalu melanggar kami,” katanya mengimbas semula kejadian itu.

Akibat hentaman kuat, kaki Izzati tersepit di bawah kereta manakala tangan kanannya patah selepas menghentam stereng. Adik bongsunya pula tercampak ke hadapan dan pengsan di tempat kejadian.

“Pembedahan yang saya jalani buat pertama kali dalam hidup menjadi titik tolak kekuatan baharu. Sepanjang tempoh itu, ibu saya adalah satu-satunya sumber semangat untuk saya terus bangkit,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-49 Sidang 1 di sini, hari ini.




Dua minggu selepas kemalangan, Izzati sepatutnya menduduki peperiksaan akhir semester. Dalam keadaan tangan berbalut dan luka belum sembuh, beliau tetap bertekad meneruskan pengajian.

“Saya memang mahu menangguh semester, tetapi ibu memujuk supaya teruskan. Ibu bantu salin nota, cari bahan di PutraBLAST, malah bertanya kepada pensyarah bagi pihak saya,” katanya.

Dengan semangat dan dorongan itu, Izzati menduduki peperiksaan secara dalam talian dan berjaya mencatat keputusan yang lebih baik berbanding semester sebelumnya.

“Saya terus menelefon ibu sambil menangis dan berkata, nasib baik ibu pujuk kakak dulu. Itu momen paling bermakna dalam hidup saya,” ujarnya.

Kini, Izzati meneruskan pengajian di UPM Kampus Serdang, dengan tekad menamatkan pengajian dalam bidang pertanian serta berkhidmat dalam sektor yang menyumbang kepada masa depan makanan negara.

“Saya sedar segalanya boleh berubah dalam sekelip mata. Kini saya lebih menghargai masa, kesihatan dan kasih sayang keluarga kerana mereka adalah sumber kebahagiaan sebenar. Impian saya hanyalah untuk melihat ibu hidup selesa dan adik-adik berjaya lebih daripada saya,” katanya dengan senyuman.

WYLDDAi~