Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim

SERDANG, 2 Disember – Pada usia hampir mencecah 48 tahun dan menggalas peranan sebagai guru, isteri serta ibu kepada lima anak lelaki, Noorzailiza Zainal Abidin membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk menggenggam ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengajaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Pertama (PBMP) di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Berpegang pada prinsip “tiada kejayaan tanpa usaha, pengorbanan dan doa”, Noorzailiza, yang juga guru Tingkatan Enam di SMK Tuanku Abdul Rahman, Gemas, berjaya menamatkan pengajian selepas 25 tahun berkhidmat dalam dunia pendidikan, termasuk 10 tahun sebagai Guru Cemerlang Bahasa Melayu.
Menurut anak sulung daripada 11 beradik itu, minatnya terhadap pengajaran bahasa bermula sejak di bangku sekolah menengah apabila guru kerap menjadikan karangannya sebagai contoh kepada rakan sekelas.
“Pujian itu memberi semangat dan keyakinan kepada saya untuk mendalami bidang ini. Dari situ bermulalah perjalanan daripada bacelor, sarjana sehinggalah ke PhD,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen UPM ke-49, di sini, hari ini.
Beliau berkata, keputusan menyambung pengajian tanpa mengambil cuti belajar menuntut disiplin yang sangat tinggi, khususnya dalam membahagikan masa antara tugas sebagai pendidik dan komitmen akademik di universiti.
“Pada hari persekolahan, saya memberi sepenuh perhatian kepada kelas serta tugasan rasmi di sekolah.
“Apabila pulang ke rumah, barulah saya mencuri masa untuk membaca jurnal, menulis tesis atau menyiapkan tugasan,” ujarnya.
Noorzailiza berkata, antara faktor terbesar yang menguatkan azamnya untuk menghabiskan pengajian adalah sokongan tidak berbelah bahagi daripada suami.
“Restu suami adalah perkara paling asas sebelum saya membuat keputusan untuk sambung belajar. Saya bersyukur Tuhan kurniakan pasangan yang sangat memahami dan sentiasa menyokong setiap langkah saya.
“Saya pernah menangguhkan satu semester pengajian bagi memberi ruang kepada suami menyambung pelajaran. Dalam tempoh itu, saya menguruskan kelima-lima anak yang masih bersekolah seorang diri,” katanya.

Tambahnya, sokongan suami dan anak-anak menjadikan beliau lebih yakin untuk meneruskan pengajian sehingga ke peringkat tertinggi.
Tempoh pandemik COVID-19 pula, katanya, bukan sahaja memanjangkan tempoh pengajian, malah mengajarnya untuk lebih berdikari dan menghargai bimbingan penyelia serta ketabahan diri sendiri.
“Kita belajar untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu, banyak urusan dibuat secara dalam talian dan pada masa sama saya tetap perlu menjalankan tugas sebagai guru. Semua itu melatih saya menjadi lebih tersusun dan sabar,” jelasnya.
Kini, pada usia 48 tahun, Noorzailiza melihat pencapaian tersebut sebagai bukti bahawa impian tidak pernah terlambat untuk dikejar selagi seseorang sanggup berusaha secara konsisten, disokong keluarga dan tidak putus berdoa.
Beliau berhasrat untuk terus menyumbang dalam pembangunan pendidikan Bahasa Melayu, sama ada di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mahupun Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Ilmu ini adalah amanah. Saya hanya mahu menyampaikan manfaatnya kepada anak bangsa dan negara,” katanya.






