Oleh Amer Imran

SERDANG, 2 Dis - Sembilan semester mungkin kedengaran terlalu lama bagi pengajian peringkat sarjana, namun bagi Mohamad Iqbal Hakim Mohd Azhan, 29, tempoh itulah yang membentuknya menjadi graduan yang lebih kental, tersusun dan berdaya saing.
Graduan Sarjana Sains (Kejuruteraan Genetik dan Molekular Biologi), Universiti Putra Malaysia (UPM) itu bukan sahaja berjaya menamatkan pengajian, malah menghasilkan tesis yang diterbitkan di Chilean Journal of Agricultural Research serta menamatkan Kursus Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA) INTAN sebagai Graduan Cemerlang. Kini, beliau berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa.
Perjalanan Iqbal bermula pada 2020, ketika itu COVID-19 melumpuhkan hampir semua aktiviti penyelidikan. Beliau tidak dapat masuk ke makmal, kerja eksperimen tertangguh dan hanya menumpukan kepada penambahbaikan reka bentuk kajian serta penulisan artikel ulasan. Beberapa kali menjalani kuarantin menambah tekanan sepanjang tempoh itu.
Apabila makmal dibuka pada 2021, beliau menyambung penyelidikan melibatkan hampir 200 aksesi padi dari pelbagai negara dengan dua replikasi bagi setiap satu. Bersama rakan makmal, mereka mengurus ratusan pokok dan sampel sehingga selesai proses persampelan dan pengekstrakan sebelum analisis dijalankan menggunakan kemudahan superkomputer.
Tahun 2022 membawa perubahan besar apabila beliau berkahwin, sementara isterinya menyambung pengajian di USIM. Pada masa sama, ini merupakan tahun terakhir geran Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) yang membiayai kajiannya, sekali gus meningkatkan tekanan untuk menyiapkan analisis dalam tempoh terhad.

Apabila tamat geran, Iqbal terpaksa mencari sumber pendapatan sendiri. Beliau pernah bekerja sebagai kru dapur sebelum diterima bekerja di sebuah makmal startup di UPM, sambil meneruskan penulisan tesis. Pada 2024, beliau menghantar tesis dan pada masa sama mengikuti Kursus DPA sebagai proses pelantikan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), menyusun persediaan viva di sela jadual latihan yang padat.
“Disiplin itu penting. Jika mengambil masa lebih lama sekali pun, itu bukan kegagalan, itulah perjalanan terbaik untuk menguatkan diri,” katanya yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan bercita-cita terus menyumbang melalui dasar serta perkhidmatan kepada masyarakat.






