?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Kajian Master Dorong Shukry Perkasa Literasi Emas dalam Komuniti

Oleh: Muhammad Nur Syazwan Wafiy Mohd Aseri

 

 

SERDANG, 30 November – Minat mendalam terhadap ilmu pengembangan komuniti serta keprihatinan terhadap isu kewangan anak muda menjadi pemangkin utama kepada Ahmad Shukry bin Yahya, graduan Master of Science (Pengembangan Pertanian), Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), yang bergraduasi pada Majlis Konvokesyen UPM ke-49, untuk menjalankan kajian yang memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya dalam bidang literasi kewangan dan adaptasi komuniti.

 

Shukry, anak bongsu daripada lima beradik, berkata titik perubahan hidupnya bermula apabila menyaksikan rakan-rakan serta juniornya terjebak dengan skim cepat kaya dan MLM sehingga mengalami kerugian.

 

“Saya rasa terpanggil untuk belajar, memahami dan berkongsi ilmu emas dengan cara yang betul supaya lebih ramai tidak terjerumus dalam skim meragukan. Pada awalnya ramai yang menolak kerana mereka anggap hanya orang berduit mampu menyimpan emas. Namun saya buktikan sebaliknya,” katanya.

 

Dalam pengajiannya, Shukry menumpukan kajian kepada faktor adaptasi komuniti terhadap amalan pertanian semasa. 

 

Penemuan pentingnya menunjukkan bahawa komuniti perlu mengamalkan terlebih dahulu perubahan yang ingin diperkenalkan bagi memahami keberkesanan dan kesesuaiannya terhadap keadaan semasa.

 

“Dalam bidang pengembangan, komunikasi adalah asas. Saya perlu turun ke lapangan, bercakap dengan petani bandar, mengedarkan soal selidik dan memahami perspektif mereka. Secara tidak langsung, ia mengasah kemahiran komunikasi saya dan kemahiran ini sangat membantu dalam memberi penerangan mengenai simpanan emas,” katanya.

 

Beliau berkata struktur kajiannya yang merangkumi lima bab iaitu pengenalan hingga rumusan banyak membantu dalam menghasilkan kandungan perkongsian emas yang teratur dan berkesan.

 

 

“Sama seperti penyelidikan, content juga perlu lengkap dan jelas untuk sampai kepada audiens. Melalui analisis yang saya pelajari, saya boleh memberi pandangan yang lebih tepat tentang produk dan strategi simpanan berdasarkan data penyimpan emas saya,” katanya.

 

Seterusnya, Shukry berkata, tanpa sokongan isterinya, beliau mungkin tidak sempat menamatkan pengajian tepat pada masa dan menerima skrol pada tahun ini.

 

“Isteri saya adalah antara individu utama yang membantu saya siapkan tesis sehingga saya berjaya bergraduasi tahun ini. Walaupun saya sibuk dengan bisnes dan penulisan tesis, dia sentiasa beri sokongan penuh,” katanya.

 

Beliau percaya bahawa pendidikan kewangan adalah kunci membantu masyarakat mengelakkan skim penipuan dan mencapai kestabilan kewangan jangka panjang.

 

“Pengajian saya di UPM bukan sahaja memberikan ilmu akademik, tetapi turut membuka mata saya tentang bagaimana ilmu pengembangan boleh digunakan untuk membimbing masyarakat ke arah amalan yang lebih selamat dan berkesan,” jelasnya.

WYMDBAa~