?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Kekuatan Sebenar Datang Daripada Ujian – Dr. Siti Nur Rohani Hasbie

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin





BINTULU, 2 Nov – “Ada masa saya rasa usaha selama ini tidak dihargai dan mempersoalkan sama ada saya mampu bertahan.”

Itulah luahan jujur Dr. Siti Nur Rohani Hasbie, penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pembangunan Komuniti pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-49, Sidang 1, ketika mengimbas semula detik paling mencabar dalam perjalanan akademiknya.

Di sebalik air mata dan tekanan yang dihadapi, beliau akhirnya menemui makna sebenar kejayaan bahawa kekuatan tidak lahir daripada kemenangan, tetapi daripada keberanian untuk terus melangkah walaupun hati terasa berat.

“Untuk memperoleh PhD ini, saya belajar bahawa kegagalan bukan tanda kita lemah, tetapi petanda bahawa kita sedang belajar menjadi lebih kuat,” katanya.

Dr. Siti Nur Rohani mengakui pernah melalui fasa keletihan emosi (burnout), kehilangan semangat dan keyakinan diri apabila hasil penyelidikan tidak mencapai jangkaan, manakala penulisan tesis pula terhenti untuk tempoh yang panjang.

“Ada masa saya benar-benar hilang arah. Tapi setiap kali hampir berputus asa, saya memilih untuk berhenti sejenak, bernafas dan mengingat kembali tujuan asal kenapa saya mulakan perjalanan ini,” ujarnya.




Beliau menzahirkan penghargaan kepada penyelia, pensyarah, rakan penyelidik serta keluarga tercinta yang menjadi tonggak kekuatan dalam meneruskan perjuangan akademik yang panjang dan penuh cabaran itu.

Sebagai anak sulung daripada empat beradik yang membesar di perkampungan nelayan Kampung Masjid, Bintulu, latar hidup sederhana menjadi sumber inspirasi yang menyalakan semangatnya untuk berjaya.

“Saya selalu ingat bahawa PhD ini bukan sekadar untuk diri saya, tetapi untuk masyarakat tempat saya berasal. Saya mahu membawa perubahan kepada komuniti Vaie, tempat saya membesar bersama arwah datuk,” katanya penuh sebak.

Bagi Dr. Siti Nur Rohani, kejayaan menggenggam ijazah tertinggi ini bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi simbol ketabahan, keutuhan semangat dan keberanian seorang wanita yang tidak pernah berhenti berjuang untuk impiannya.

 

WYLDDAK~