?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Kekurangan penglihatan tidak halang Faidz genggam Ijazah UPM

Oleh: Muhammad Nur Syazwan Wafiy Mohd Aseri 

 

SERDANG, 1 Dis - Kekurangan penglihatan pada mata kanan tidak menghalang graduan Bacelor Kejuruteraan Pertanian dan Biosistem dengan Kepujian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Faidz Mohamad Amin, 25, menamatkan pengajian dan melangkah ke pentas Majlis Konvokesyen ke-49 UPM di sini hari ini, meskipun berdepan insiden yang mengubah hidupnya hampir sedekad lalu.

 

Anak bongsu daripada enam beradik yang lahir dan membesar di Kuala Lumpur itu dahulunya menyimpan impian untuk bergelar atlet negara kerana minat mendalam terhadap sukan, khususnya hoki. Namun, segalanya berubah pada tahun 2015 apabila sebatang kayu hoki yang tercampak tanpa sengaja mengenai mata kanannya ketika sesi latihan. Kejadian itu mengakibatkan beliau hilang sepenuhnya penglihatan pada mata kanan.

 

“Secara luaran saya kelihatan normal, tetapi hidup selepas kejadian itu sangat berbeza. Saya sukar menganggar jarak dan tidak lagi mampu membuat balingan tepat seperti dahulu,” katanya.

 

Namun, kekurangan itu tidak pernah dijadikan alasan untuk mengalah. Demi menjaga ibunya yang sudah bersara, Faidz memilih untuk tinggal di Kajang dan berulang-alik setiap hari ke UPM menaiki motosikal. Apa yang kelihatan seperti rutin harian biasa bagi orang lain, hakikatnya menuntut keberanian luar biasa bagi individu yang hanya bergantung kepada satu mata untuk melihat.

 

 

Beliau mengakui musim peperiksaan merupakan antara fasa paling mencabar dalam pengajian kerana perlu mengatur masa dengan teliti bagi memastikan prestasi akademiknya kekal baik.

 

“Saya akan bertolak seawal subuh untuk ulang kaji di kampus. Jika peperiksaan pada sebelah petang, saya tetap datang dari pagi untuk buat persediaan secukupnya,” katanya.

 

Dalam kesibukan mengurus pengajian, keluarga dan kekangan kesihatan, Faidz tetap mencari ruang untuk memperluas pengalaman apabila berpeluang menyertai program mobiliti ke Korea, yang disifatkannya sebagai turning point dalam hidup.

 

“Sejak memasuki pengajian ijazah sarjana muda, saya mula bercita-cita untuk membina kehidupan di luar negara. Mobiliti ke Korea memberi saya keyakinan dan semangat baharu untuk mengejar impian itu,” jelasnya.

 

Beliau tidak menafikan ada ketika dirinya hampir berputus asa, terutama apabila berdepan masalah kewangan dan tugasan universiti yang menimbun.

 

“Saya selalu ingatkan diri untuk tidak berhenti. Peluang untuk mengubah hidup lebih besar jika saya teruskan walaupun susah. Kisah ketabahan Nabi Muhammad SAW ketika berdakwah di Taif menjadi sumber kekuatan saya,” katanya.

 

Bagi Faidz, saat melangkah ke pentas konvokesyen bukan sekadar simbol tamatnya pengajian, tetapi kemenangan terhadap ujian hidup, ketahanan mental dan bukti kasih seorang anak yang tetap memilih untuk berada dekat dengan ibu.

 

Beliau berharap kisahnya dapat meniup semangat kepada pelajar lain, khususnya mereka yang berdepan kekurangan upaya atau cabaran kesihatan.

 

“Setiap cabaran adalah ujian. Tuhan menguji kerana Dia sayang. Yang penting, jangan berhenti melangkah,” ujarnya.

WYMHOAV~