Oleh: Muhammad Nur Syazwan Wafiy Mohd Aseri

SERDANG, 3 Dis – Minat yang mendalam terhadap seni bina mendorong graduan Bacelor Sains Seni Bina dengan Kepujian di Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM), Immanuel Gunaraj Alexander, untuk bekerja sambilan dalam bidang 3D modelling dan architectural working drawing meskipun berada pada semester akhir pengajian.
Immanuel, anak kelahiran Sungai Petani, Kedah ialah anak bongsu daripada dua beradik dan mempunyai kakak yang juga Alumni UPM berkata, kecintaannya terhadap reka bentuk dan seni visual menjadi faktor utama beliau memilih jurusan tersebut.
“Minat saya pada seni bina sangat kuat. Walaupun bekerja di studio memerlukan masa yang panjang dan kerja yang intensif, saya tetap ambil peluang untuk bekerja kerana saya mahu pengalaman sebenar industri. Saya tahu ini akan bantu saya jadi lebih bersedia selepas tamat belajar,” katanya.
Beliau berkongsi bahawa latar belakangnya dalam aliran Seni di sekolah serta pengajian diploma banyak membentuk asas teknikal dan kreativiti yang membantunya di UPM.
Menurutnya, kursus studio memberikan cabaran paling besar kerana ia memerlukan ketahanan mental, komitmen tinggi serta keupayaan menghasilkan idea yang berterusan.
“Studio memang sangat mencabar. Ada hari-hari yang saya menangis sebab hilang motivasi. Tapi saya pecahkan tugasan kepada bahagian kecil, buat checklist, dan ambil rehat bila perlu supaya tak ‘burn-out’,” katanya.
Immanuel mula bekerja sambilan dari semester lima hingga tujuh, menguruskan tugasan seperti 3D modelling, working drawing serta dokumentasi projek yang mengikut piawaian industri dan UBBL.
Beliau berkata, keputusan bekerja sambilan bukan sahaja kerana mahu menjana pendapatan untuk menampung kos berkaitan seni bina seperti percetakan dan pembuatan model, tetapi juga kerana ingin memahami aliran kerja sebenar dalam firma arkitek.
“Bila bekerja dalam industri, saya belajar perkara sebenarnya yang diperlukan dalam projek sebenar seperti koordinasi, keperluan klien, standard dokumentasi, dan cara berkomunikasi secara profesional,” katanya.
Bagi Immanuel, pengalaman industri memberikan nilai tambah yang ketara kepada proses pembelajarannya.
“Di studio, kami fokus pada konsep dan kreativiti. Tapi dalam industri ada bajet, masa, standard pembinaan dan kehendak klien. Bila saya kembali ke kelas studio, saya lebih peka dan lebih tepat dalam lukisan teknikal. Ini betul-betul seimbangkan pemikiran saya sebagai bakal arkitek,” jelasnya.
Immanuel berharap dapat membina kerjaya dalam bidang reka bentuk, pembangunan teknikal, dan visualisasi 3D dengan matlamat menjadi profesional yang seimbang antara kreativiti dan ketepatan teknikal.






