Oleh: Noor Eszereen Juferi

SERDANG, 2 Disember - Keyakinan terhadap kualiti akademik dan kekuatan penyelidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) mendorong seorang pegawai kanan kerajaan yang terbabit secara langsung dalam pembentukan dasar negara, Dr. Nik Rozelin Nik Ramzi Shah, 50, memilih “menara ilmu” untuk menyambung pengajian ijazah Doktor Falsafah (PhD) Ekonomi.
Dr. Nik Rozelin yang berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah, Bahagian Industri Perkhidmatan, Kementerian Ekonomi, bergraduat pada Majlis Konvokesyen UPM ke-49, sekali gus menzahirkan kepercayaan golongan profesional tinggi terhadap reputasi UPM sebagai universiti penyelidikan bertaraf antarabangsa.
Beliau berkata, tugas di kementerian yang banyak terlibat dalam perancangan dan pembentukan dasar negara bukan sahaja memerlukan pengalaman lapangan, tetapi juga asas teori untuk memastikan dasar yang digubal lebih menyeluruh dan berimpak nasional.
“Kami di kementerian banyak terlibat dalam pembuat dasar. Untuk melengkapkan dasar secara menyeluruh, pengalaman sahaja tidak cukup, ia perlu disokong oleh teori dan ilmu yang mendalam,” katanya.
Dr. Nik Rozelin memilih UPM kerana kepakaran pensyarah dalam bidang Global Value Chain (GVC) dan produktiviti yang sejajar dengan penyelidikan tesis beliau bertajuk “Positioning Malaysia in Global Value Chain Through Productivity Growth”, selain pendekatan penyeliaan yang menggabungkan teori, aplikasi dan kerja berpasukan.
“Model-model yang diajar di UPM mengukuhkan apa yang saya lalui semasa bekerja. Apabila teori, model dan pengalaman digabungkan, kita dapat melihat dasar dari sudut yang lebih menyeluruh,” jelasnya.

Beliau sebelum ini turut mempunyai hubungan rapat dengan UPM apabila pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) semasa berkhidmat di Kementerian Kewangan pada 2023–2024, menjadikan kepulangannya sebagai pelajar ibarat kembali ke pangkuan keluarga akademia.
“Saya merasakan seperti kembali kepada keluarga sendiri dan moto ‘Berilmu Berbakti’ sangat dekat di hati,” katanya.
Sebagai universiti penyelidikan yang mempunyai kekuatan dalam bidang pertanian, Dr. Nik Rozelin yakin UPM berupaya muncul sebagai peneraju teknologi pertanian di peringkat global, selari dengan keperluan semasa dan aspirasi negara.
“UPM mempunyai kepakaran dan pertanian ialah niche yang penting. Penggabungan sains dan teknologi mesti diperkukuh agar lahir produk serta inovasi baharu yang mampu menjamin bekalan makanan negara,” katanya.






