Oleh: Balqis Bakri

SERDANG, 3 Disember - Digelar “mementingkan diri sendiri” ketika membuat keputusan menyambung pengajian, seorang guru sekolah menengah dari Kulim, Kedah, Fakhrulnisha Halim, 41, bangkit menyangkal tohmahan apabila berjaya menamatkan pengajian Master Psikologi Pendidikan (Pintar Cerdas) di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Lebih menyentuh hati, kejayaan yang diraikan pada Majlis Konvokesyen UPM ke-49 itu dicapai dalam statusnya sebagai ibu tunggal kepada tiga orang anak, selepas rumah tangga yang dibina selama 14 tahun berakhir hanya sebulan sebelum pengajian bermula.
“Bekas suami pada masa itu tidak bersetuju untuk saya belajar dan mengatakan saya hanya pentingkan diri sendiri, sedangkan menyambung Master adalah impian saya sejak dahulu,” katanya ketika ditemui.
Fakhrulnisha memulakan pengajian di bawah tajaan Hadiah Latihan Persekutuan Sambilan (HLPS) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan mengikuti program pesisir di kampus Al Bukhary International University (AIU), Alor Setar.
“Setiap hujung minggu saya tinggalkan anak-anak dengan ibu di kampung. Ada masa saya naik komuter dari Bukit Mertajam ke Alor Setar dan sambung perjalanan dengan Grab bersama rakan sekelas semata-mata untuk jimatkan kos,” katanya.
Sudah menjadi rutin selepas kelas, beliau mengambil anak-anak dan kembali bersedia menggalas tugas sebagai guru pada keesokan hari.
“Ada saatnya saya rasa terlalu sukar untuk menjadi ibu, pendidik dan pelajar pada masa yang sama. Tetapi setiap kali penat, saya ingat semula niat asal mahu ubah hidup melalui ilmu,” ujarnya.
Semester seterusnya membolehkannya memberi lebih perhatian kepada anak-anak tanpa perlu banyak berulang-alik kerana kelas dibuat secara dalam talian.
Di sebalik tekanan emosi dan cabaran kewangan, Fakhrulnisha tetap tekad menghabiskan pengajian. Usaha itu akhirnya membuahkan hasil apabila beliau menamatkan Master dengan CGPA 3.8
“Saya hidup berdikari tanpa suami yang sepatutnya menjadi ‘support system’ utama, tetapi bagi saya, saya lebih kuat dengan anak-anak, sokongan ibu, keluarga dan rakan-rakan seperjuangan.
“Segala penat lelah akhirnya terbayar. Terima kasih kepada semua pensyarah dan penyelia atas tunjuk ajar,” katanya penuh syukur.
“Perjalanan saya tidak terhenti di sini. Saya berhasrat menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dengan biasiswa penuh,” ujarnya, membuktikan semangat juangnya masih menyala.
Di sebalik tuduhan “pentingkan diri” suatu ketika dahulu, hari ini Fakhrulnisha membuktikan bahawa keutamaan kepada ilmu dan masa depan bukanlah satu kesalahan tetapi sebaliknya langkah berani ibu yang mahu mengangkat martabat diri dan anak-anak melalui pendidikan.






