???? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Majlis Bersama Pemimpin Negara beri pendedahan pelajar baharu UPM cakna isu semasa, ilmu pendidikan

 

SERDANG, 14 Okt – “Universiti adalah tempat untuk anda mengasah kemahiran, membina keyakinan diri serta mempelajari ilmu sebaik mungkin demi memberi manfaat besar kepada agama, bangsa dan negara.” Itulah pesanan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasuition Ismail kepada pelajar baharu UPM pada sesi perkongsian beliau di Majlis Bersama Pemimpin Negara.

 

Datuk Seri Saifuddin Nasuition juga merupakan alumni UPM kelas 1987 mengingatkan kepada pelajar UPM bahawa ‘Menara Ilmu’ ini merupakan tempat yang terbaik bagi membina pendidikan dalam kecemerlangan akal, jasad dan roh.

 

“Ini adalah keperluan yang penting bagi pelajar kerana anda adalah tunggak kempimpinan di masa depan dan UPM adalah kampus yang sangat istimewa untuk anda berpeluang melihat seluruh potensi diri di sini,” katanya.

 

 

Beliau turut menegaskan agar para pelajar untuk tidak berputus asa dan menyelesaikan pengajian demi masa depan yang gemilang.

 

“Anda bukan sahaja harapan ibu bapa malah harapan masyarakat dan negara juga mempertaruhkan harapan kepada anda. Apabila melanjutkan pengajian sebenarnya kita sedang mengisi keperluan guna tenaga negara dalam bidang kita belajar, jangan dikorbankan,” katanya.

 

Dalam pada itu, Datuk Seri Saifuddin Nasuition turut melancarkan Program I’m Volunteer kepada pelajar UPM yang merupakan inisiatif daripada Pejabat Kementerian Dalam Negeri bagi menggembleng kebersamaan rakyat untuk menyumbang kembali kepada masyarakat melalui platform kesukarelawan.

 

 

Sementara itu, pelajar Bacelor Sains Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan dengan Kepujian, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UPM, Muhammad Ainul Firdaus Zailani berkata program itu memberi pengetahuan serta keperluan untuk cakna isu semasa.

 

“Sebagai pelajar baharu di UPM saya melihat hidup di universiti bukan sekadar untuk belajar malah perlu juga peka dengan keadaan semasa negara dalam memahami realiti hidup masa kini,” katanya.

 

Pelajar program Doktor Perubatan, FPSK, UPM, Anis Fatihah Azreen Syazril berkata program ini memberi galakan kepada beliau untuk lebih terlibat dalam pengetahuan am tentang negara kerana ia penting untuk generasi muda.

 

“Sebelum ini saya tidak nampak keperluan untuk memahami isu semasa negara namun setelah mengikuti program ini saya sedar keperluannya kerana kami adalah bakal pemimpin di masa depan,” katanya.

SXKTWA~