Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
SERDANG, 1 Disember - Berkongsi pentas yang sama pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi kenangan terindah buat pasangan suami isteri Rabiatul Asyikin Mohd Zaki, 23 dan Muhammad Fitri Abdullah, 26 selepas berjaya menamatkan pengajian bersama-sama.
Sebuah projek sukarelawan yang pada awalnya hanya tugasan kursus Kenegaraan Malaysia akhirnya menjadi titik mula kisah cinta dua rakan sekelas yang kini sah bergelar suami isteri.
Mereka mula berkenalan pada tahun 2021 apabila ditakdirkan berada dalam kumpulan projek yang sama bersama tiga rakan lain bagi membantu membersihkan rumah mangsa banjir.
“Waktu itu kami hanya kenal nama. Tapi sebab personaliti suami yang ramah dan ceria, saya rasa selesa berkawan dengan dia,” kata Rabiatul Asyikin mengimbas detik awal perkenalan mereka.
Benih cinta mula bercambah dalam suasana yang tidak dijangka pada musim peperiksaan semester. Kesibukan mengulang kaji pelajaran, bertukar nota dan berbincang mengenai tugasan menjadikan mereka semakin kerap berhubung.
“Pada mulanya kami hanya berbincang tentang ujian dan tugasan. Tanpa sedar, kami mula berkongsi cerita harian. Dari situlah perasaan itu mula muncul,” jelasnya.
Seperti pasangan lain, mereka tidak terlepas daripada perselisihan faham. Namun, sebagai rakan sekelas, mereka sepakat untuk matang dalam menguruskan perbezaan.
“Kalau bergaduh pun, kami simpan di luar kampus. Dalam kelas kami profesional, buat macam tiada apa. Kawan-kawan pun tak pernah perasan,” kata suaminya sambil tersenyum.
Kini, selepas menamatkan pengajian dan bergelar pasangan suami isteri, mereka melihat UPM bukan sekadar tempat menuntut ilmu, tetapi lokasi bermulanya perjalanan hidup yang penuh makna.
“UPM menjadi saksi hubungan kami dan di sinilah kami belajar sabar, memahami, dan membina masa depan bersama,” ujar mereka.
Pesan mereka kepada pelajar lain, cinta bukan alasan untuk mengabaikan pelajaran, sebaliknya perlu diurus dengan matang.
“Belajarlah bersungguh-sungguh. Jodoh itu rahsia Tuhan, jangan kerana bercinta pelajaran terabai,” pesan mereka, menutup kisah dengan senyuman.






