?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Pembaca Berita raih PhD UPM, catat rekod Malaysia

 

 

SERDANG, 2 Dis - Pembaca berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Mogesh Sababathy, 27, melakar sejarah apabila bergraduasi sebagai Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Imunobiologi dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada hari yang sama beliau disahkan memegang rekod Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai “Penyampai Berita Pertama dengan Ijazah Doktor Falsafah dalam Biologi Keimunan”.

 

Menerima skrol doktor falsafah dan pengiktirafan MBOR serentak, Mogesh menyifatkan detik itu sebagai kemuncak pengorbanan dalam mengimbangi dunia penyelidikan dan penyiaran berita yang berbeza, namun saling melengkapi dalam membentuk dirinya hari ini.

 

“Saya benar-benar terharu. Tamat PhD sendiri sudah cukup besar maknanya, tetapi menerima pengiktirafan MBOR pada hari yang sama membuat saya rasa segala pengorbanan selama ini tidak sia-sia,” katanya ketika ditemui selepas sesi konvokesyen UPM.

 

Mogesh yang sedang membina kerjaya akademik di samping terus berkhidmat di BERNAMA berkata, pengiktirafan itu mengingatkannya supaya terus percaya pada proses dan menghargai usaha sendiri. 

 

“Ini bukan kejayaan saya seorang. Saya rasa perjalanan ini juga milik keluarga, para pensyarah, rakan-rakan dan setiap insan yang pernah membuka pintu untuk saya belajar,” ujarnya.

 

Penerima Biasiswa Yang di-Pertuan Agong bagi pengajian PhD itu menjalankan penyelidikan berkaitan keradangan paru-paru dan potensi sel stem sebagai salah satu pendekatan rawatan, berinspirasikan pengalaman bapanya yang pernah mengalami kecederaan brachial plexus.

 

Dekan Fakulti Perubatan Veterinar UPM, Prof. Dr. Goh Yong Meng berkata kejayaan Mogesh membuktikan kemampuan UPM melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam makmal, malah mampu berkomunikasi dengan masyarakat melalui media arus perdana.

 

“Beliau menggabungkan dua bidang yang jarang disatukan iaitu imunobiologi dan penyiaran berita. Ini sangat penting dalam era pascapandemik kerana kita memerlukan lebih ramai saintis yang boleh menerangkan isu kesihatan dengan jelas dan bertanggungjawab kepada orang ramai,” katanya.

 

Menurutnya, tesis Mogesh memberi sumbangan bermakna kepada pemahaman keradangan paru-paru dan potensi sel stem dalam rawatan, selari dengan pendekatan One Health yang digariskan UPM. 

 

“Penyelidikan seperti ini membuka ruang kepada kaedah rawatan yang lebih selamat, berkesan dan pada masa depan diharap lebih mampu diakses,” tambah beliau.

 

Mengimbas perjalanan sebagai pelajar, Mogesh mengakui cabaran terbesar ialah ketahanan mental dan emosi, selain mengurus jadual kerja sebagai pembaca berita. 

 

“Ada hari saya keluar dari makmal terus ke studio. Tetapi kerja penyiaran sebenarnya menjadi ruang bernafas untuk saya, seolah-olah ‘stress reliever’ yang memberi tenaga baharu,” katanya.

 

Beliau menzahirkan penghargaan kepada penyelia, rakan penyelidik, rakan sekerja dan keluarga yang menjadi tulang belakang sepanjang tempoh sukar. Kepada anak muda yang menganggap sains “susah”, Mogesh menegaskan sains sebenarnya dekat dengan kehidupan dan membantu menyelesaikan masalah masyarakat.

 

Selepas bergelar Dr. dan pemegang rekod MBOR, beliau berhasrat untuk terus terlibat dalam akademik dan penyelidikan sebagai pakar imunologi, sambil meneruskan kerjaya penyiaran bagi menjadikan ilmu sains lebih difahami masyarakat.

WYMHJAo~