?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Puteri Nurasmaliyana Galas ‘Tiga Topi’ Serentak Hingga Ke Pentas Konvo

Oleh Balqis Bakri

 

 

SERDANG, 2 Disember - Di saat ramai rakan sebaya hanya bergelut menyiapkan tugasan kuliah, perjalanan empat tahun Puteri Nurasmaliyana Asri di Universiti Putra Malaysia (UPM) jauh lebih kompleks apabila menggalas tiga peranan serentak sebagai pelajar, pekerja dan pemimpin pelajar.

 

Graduan Bacelor Sains dan Teknologi Kayu dengan Kepujian itu mengakui hidupnya di kampus bukan sekadar tentang kuliah dan peperiksaan, sebaliknya tempat untuk membina ketahanan diri dalam realiti kehidupan sebenar.

 

“Sejak tahun pertama, saya sudah membiasakan diri dengan dunia kerja sambilan. Ketika rakan-rakan lain masih menyesuaikan diri dengan kehidupan di kampus, saya mula menjual burger dan membantu di kedai runcit untuk menambah pendapatan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-49, di sini, hari ini.

 

Momentum itu diteruskan pada tahun kedua apabila beliau mencabar diri dalam sektor perkhidmatan pula. Puteri menimba pengalaman sebagai barista yang mengajarnya disiplin dan layanan pelanggan, selain bekerja sebagai krew bankuet hotel yang membuka ruang memahami selok-belok pengurusan acara dan kerja berpasukan.

 

Tidak berhenti di situ, beliau kembali ke dunia perniagaan jalanan dengan berniaga di ‘Chillax’ sehingga ke tahun akhir pengajian, menjadikan jadual hariannya sentiasa padat antara kelas, kerja dan urusan organisasi.

 

Namun, katanya, cabaran sebenar memuncak pada tahun ketiga apabila beliau menerima amanah kepimpinan di peringkat universiti.

 

“Tahun ketiga adalah fasa paling mencabar. Saya perlu mengimbangi tiga peranan serentak iaitu sebagai pemimpin, pelajar dan pekerja. Kadang-kadang badan dan emosi memang penat, tetapi saya sudah berjanji pada diri untuk tidak mengala,” kongsinya.

 

Ketokohan beliau terserlah apabila berjaya menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), merangkap Exco Kesenian dan Warisan Kebudayaan Sesi 2023/2024. Komitmen itu turut diiktiraf melalui penganugerahan Anugerah Inspirasi Bakti oleh Kolej Pendeta Za’ba (KPZ).

 

Di sebalik jadual yang padat, Puteri Nurasmaliyana tidak melupakan sosok paling besar di sebalik kejayaannya, ibunya Norazlinda Ahmad, 48, seorang ibu tunggal yang menjadi tulang belakang keluarga.

 

“Ibu adalah sumber kekuatan utama. Beliau membesarkan kami sambil menyara adik-adik yang semuanya masih menuntut di institusi pengajian tinggi. Bila rasa penat, saya selalu teringat pengorbanan ibu,” katanya sebak.

 

Tidak mahu kejayaannya berhenti pada dirinya sahaja, Puteri Nurasmaliyana menitipkan pesanan kepada pelajar lain agar berani keluar daripada zon selesa dan membina kemahiran di luar bilik kuliah.

 

“Jangan takut untuk belajar multitasking dan libatkan diri dalam kepimpinan. Kita perlu bijak menyeimbangkan antara akademik dan tanggungjawab luar. Di situlah kita belajar menjadi pelajar yang benar-benar berkualiti,” pesannya.

 

Bagi beliau, segala kepayahan dan keletihan yang ditempuh sepanjang empat tahun di UPM akhirnya terbayar apabila dapat berdiri di pentas konvokesyen dengan segulung ijazah di tangan, ditemani ibu yang selama ini menjadi sumber kekuatan.

WYMHJA2~