Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh
KAMPOT, (Cambodia) - Kumpulan Putra Bakti UPM yang
diwakili oleh pegawai dan staf Perubatan Pusat Kesihatan Universiti selesai
menjalankan perkhidmatan kesihatan di Kampung Kampot, Cambodia selama dua hari
berturut-turut dengan merawat kesihatan penduduk kampung dan mengkhatankan
beberapa kanak-kanak tempatan.
Kumpulan sukarelawan UPM mendapat jemputan daripada Majlis
Setiausaha Politik Malaysia (MSPM) bersama sukarelawan NGO yang lain dalam
program CSR bersama 1,500 penduduk Kampot yang diserikan dengan kehadiran wakil
Perdana Menteri Cambodia Hun Sen iaitu anak beliau, Brig Jen Hun Manith dan
Mufti Kampot, Zuhri Ahmad.
Kedua-dua mereka dalam ucapan majlis perasmian mengucapkan
jutaan penghargaan kepada wakil Malaysia yang sama-sama menyumbang tenaga,
kepakaran kesihatan dan barangan makanan dan lain-lain dalam projek CSR kepada
penduduk kampung yang telah hadir.
Koordinator program CSR MSP tersebut, Siti Bainun Ahd Razali
berkata pihaknya turut menjalankan aktiviti sukan dengan kanak-kanak,
menyumbangkan bantuan makanan, beras, peralatan dapur, pam air, enam peralatan
sekolah dan lima ekor lembu untuk akikah di mana kesemua sumbangan ialah
daripada kerajaan Malaysia.
"Kami menjangkakan kehadiran seramai 800 penduduk
kampung tetapi sebaliknya seramai 1,500 penduduk yang hadir," katanya yang
turut membawa lima sukarelawan daripada NGO lain dan lima dari UPM.
Sementara itu Ketua kumpulan Putra Bakti UPM, Dr. Aditya
Adawiah Darwis mengulas mereka berpuas hati dengan impak rawatan kesihatan
walaupun masa amat terhad selain masalah komunikasi bahasa dengan penduduk.
Selain beliau, pegawai perubatan UPM yang lain ialah Dr
Nurhayati Mohd Sobki, Dr Soe Min Htet @ Hj Mohamed Rafee dan pembantu
perubatan, Muhammad Athuf Azhar.
Penyertaan UPM dalam program CSR itu diuruskan oleh
Koordinator Putra Bakti UPM, Bukryman Sabri, seorang aktivis sukarelawan yang
juga pensyarah Fakulti Ekologi Manusia UPM.
"Penduduk yang dirawat mengadu masalah seperti
sakit-sakit badan, sakit tekak dan sakit kepala.
"Faktor habuk, kemarau dan ketiadaan paip utk bekalan air bersih menyumbang kepada masalah kesihatan mereka. Majoriti daripada mereka bekerja sendiri di kampung," ujar Dr. Aditya.
Terdahulu, sebaik sahaja tiba di bumi Cambodia, sukarelawan
UPM dan sukarelawan NGO lain diraikan oleh Duta Besar Malaysia ke Cambodia,
Dato' Seri Hasan Malek dan pegawai kedutaan di Kedutaan Besar Malaysia di sini.
Setiausaha politik Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Abd Halim Jusoh terharu dengan usaha UPM selaku wakil pendidikan tinggi yang menyumbang tenaga dan kepakaran kepada masyarakat kurang berkemampuan di luar negara dalam program MSP yang turut dihadiri oleh kira-kira 24 ahli.