?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

UPM anjur MTB 2023, pupuk kemahiran insaniah dan cungkil bakat pelajar dalam bidang kesenian dan kebudayaan

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin dan Sharifah Hannah Adibah Wan Serail
Jurufoto: Mohammad Izrul Abdul Jabar 

SERDANG, 20 Okt – Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Malam Tunas Budaya (MTB) 2023 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM untuk memupuk kemahiran insaniah dan mencungkil bakat pelajar dalam bidang kesenian dan kebudayaan.

MTB 2023 yang bertemakan “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” merupakan program terakhir bagi Minggu Perkasa Putra (MPP) sesi 2023/2024 yang telah berlangsung pada 30 September hingga 7 Oktober yang lalu, dan aktiviti wajib untuk pelajar tahun satu UPM untuk mengetengahkan bakat dari segi kreativiti, nyanyian dan tarian.

Pelajar Bacelor Pendidikan dalam Pendidikan Jasmani dengan Kepujian, Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM, Muhammad Haikal Fareez Azman berkata, penyertaan dalam bidang kesenian dan kebudayaan akan menjadi titik tolak buat dirinya untuk terus mengembangkan bakat melalui penerokaan pelbagai bidang lainnya. 

“Sebagai pelajar sukan, saya berpeluang buat pertama kalinya meneroka bidang seni persembahan yang berkaitan dengan nyanyian, tarian, pengurusan prop, multimedia, solekan dan tatarias, dan saya yakin penglibatan dalam MTB 2023 akan membantu saya untuk berani dalam meneroka bidang lain pada masa hadapan.

“Menerusi tema yang diketengahkan dalam MTB 2023, penekanan nilai perpaduan amat penting dalam memacu pembangunan dan keharmonian masyarakat sekali gus memacu kecemerlangan arena pendidikan negara, dan ini menepati nilai kebudayaan yang diangkat oleh KC sendiri dalam persembahannya yang menitikberatkan aspek perpaduan dalam kalangan anak Malaysia dari pelbagai agama dan budaya yang berbeza,” katanya.

Sementara itu, pelajar Bacelor Pengajian Pengguna dengan Kepujian, Fakulti Ekologi Manusia (FEM), UPM, Aileen Allaya Owaat berkata, MTB 2023 membuktikan bahawa aktiviti kesenian dan kebudayaan merupakan inisiatif untuk menerapkan nilai kebersamaan dan kekitaan dalam kalangan masyarakat, khususnya pelajar sebagai generasi pemangkin perpaduan.

“Saya dapat mengasah bakat dalam bidang kesenian dan kebudayaan dan mengenali rakan-rakan dari pelbagai latar belakang, di samping memupuk kemahiran insaniah, khususnya kemahiran kepemimpinan, kerjasama berpasukan, komunikasi dan pembelajaran berterusan sebagai nilai tambah dalam mendepani cabaran mendatang,” katanya.

Dalam pada itu, Kolej Canselor (KC), UPM telah berjaya dinobatkan sebagai Johan MTB 2023, diikuti dengan Kolej Sepuluh (K10), UPM sebagai Naib Johan dan Tempat Ketiga disandang oleh Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS), UPM.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu, Ketua Pentadbiran, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), UPM, Abdullah Arshad, dan Pengerusi Jemaah Pengetua Kolej Kediaman, UPM, Dr. Amini Amir Abdullah.

SXHSHA6~