Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

BINTULU, 1 Nov – Dari sekadar menyemai biji cili milik ayahnya, seorang pelajar Diploma Perniagaantani, Fakulti Perhutanan dan Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), Yvena Twomie Picturesques Anak Miro kini muncul sebagai usahawan muda agro yang berjaya menarik perhatian penduduk setempat melalui jualan anak pokok cili.
Minat mendalam terhadap bidang pertanian dan ilmu yang diperoleh sepanjang pengajian menjadi pemangkin kepada kejayaan pelajar ini dalam mengkomersialkan hasil tanaman secara kecil-kecilan. Beliau berkata, pengalaman menjalani latihan industri di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bau membuka matanya terhadap potensi besar sektor pertanian, khususnya dalam bidang penanaman cili.
“Semasa latihan industri, saya belajar tentang teknik penanaman dan pengurusan tanaman cili. Di situ saya nampak peluang, kerana ramai petani masih membeli anak pokok walaupun cili mudah ditanam,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen UPM ke-49 Sidang 1 di sini, hari ini.
Idea untuk berniaga, katanya, timbul secara tidak sengaja apabila beliau menyemai biji cili yang tidak sempat digunakan oleh ayahnya. Tanpa disangka, anak pokok cili yang dihasilkan mendapat sambutan luar biasa daripada kenalan dan penduduk kampung.
“Pada mulanya saya hanya ingin mengisi masa lapang, tetapi apabila ramai berminat membeli, saya mula nampak potensi perniagaan ini. Dari situ, saya semakin bersemangat untuk teruskan dan mengembangkannya,” ujarnya.
Menurutnya, tanaman cili menjadi pilihan utama kerana mudah dijaga, cepat membesar serta mempunyai permintaan pasaran yang stabil. Tambahan pula, modal permulaan yang rendah menjadikannya antara tanaman sesuai untuk usahawan kecil.
“Cili adalah bahan penting dalam masakan harian masyarakat kita. Jadi, pasaran sentiasa ada. Dengan penjagaan yang betul, hasilnya mampu memberikan keuntungan yang baik,” jelasnya.
Beliau mengakui berdepan cabaran dari segi keyakinan diri dan komunikasi pada peringkat awal, namun pengalaman berniaga sedikit demi sedikit mengubah dirinya menjadi lebih berani dan yakin.
“Saya seorang yang pemalu, tetapi saya belajar untuk memperkenalkan produk sendiri dengan yakin. Ibu bapa saya juga menjadi pendorong utama dan turut membantu mempromosikan jualan kepada kenalan mereka,” katanya.
Kini, beliau bercadang untuk memperluas pasaran ke luar kawasan kampung dan memasarkan produknya secara dalam talian. Beliau juga berhasrat menambah ilmu dalam bidang pengurusan perniagaan dan teknologi pertanian bagi memastikan usahanya terus berkembang.
“Jangan takut untuk mencuba. Gunakan ilmu yang diperoleh semasa belajar untuk menimba pengalaman sebenar dan jangan mudah berputus asa. Setiap kegagalan adalah peluang untuk belajar dan menjadi lebih baik,” katanya memberi semangat kepada rakan sebayanya.
Kisah kejayaan pelajar ini membuktikan bahawa dengan ilmu, kesungguhan dan keberanian mencuba, sektor pertanian bukan sahaja mampu menjamin masa depan, tetapi juga membuka ruang kepada generasi muda untuk menjadi sebahagian daripada transformasi ekonomi hijau dan keusahawanan agro negara.






