Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Saleha Haron
Institusi Pengajian Tinggi (IPT) disaran untuk tidak hanya melahirkan graduan pertanian sebagai pengurus ladang malah membentuk pemikir strategik dan inovatif yang memahami industri serta cabaran global yang sedang berlaku.
Menurut Profesor Emeritus Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datuk Dr. Mad Nasir Shamsudin berkata, IPT tidak boleh tertumpu kepada jawatan pengurus ladang.
“Kita perlukan graduan yang berfikiran kritis, celik teknologi, dan bersedia memimpin transformasi sektor makanan dengan nilai kelestarian.
“Pensyarah dan penyelidik juga memainkan peranan penting dalam ekosistem ini dengan menggabungkan pengalaman penyelidikan dan pendedahan industri sebenar ke dalam proses pengajaran.
Beliau berkata demikian semasa membentang kertas kerja pada Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan (PKMK 2025) yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.
Tambahnya, Ini penting agar pelajar bukan sahaja memahami teori, tetapi turut mampu mengaplikasikannya dalam konteks sebenar di lapangan.
“Seorang penyelidik berkaliber juga mesti menjadi pensyarah yang baik dengan membimbing graduan menjadi agen perubahan.
“Keterjaminan makanan tidak hanya bergantung kepada teknologi atau dasar kerajaan, tetapi juga kepada kualiti dan kesediaan sumber manusia yang akan menerajui sektor ini pada masa depan.
Dalam pada itu transformasi pendidikan tinggi adalah satu komponen penting dalam agenda nasional menangani cabaran keselamatan makanan secara berkesan.
PKMK 2025 yang dianjurkan oleh UPM menghimpunkan seramai 686 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan dan industri bagi membincangkan hala tuju dasar pertanian dan sekuriti makanan negara.