?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Ilmu pertanian bentuk jiwa, bukan sekadar kerjaya - Wan Irfan Hakim

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

BINTULU, 31 Oktober – “Ilmu pertanian membentuk saya menjadi insan yang lebih menghargai rezeki,” kata Wan Irfan Hakim Wan Ismail, penerima Pingat Emas Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar Bintulu Port Holdings Berhad (Kategori Diploma) pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-49 Sidang 1, di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), hari ini.

 

Graduan Diploma Perniagaantani itu berkata, pengiktirafan tersebut menjadi tanda syukur atas segala usaha, doa dan pengorbanan sepanjang tempoh pengajian, sambil menegaskan bahawa kejayaan tidak datang tanpa kesungguhan dan disiplin.

 

“Saya percaya setiap perjalanan manis datang daripada pengorbanan dan keyakinan bahawa usaha tidak akan menghampakan,” katanya.

 

Sepanjang pengajian, Wan Irfan memastikan keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan penyertaan aktif dalam aktiviti kokurikulum. Antara pencapaian membanggakan beliau ialah muncul Johan Syarahan Agama iFest Antarabangsa 2023, mewakili Malaysia ke Brunei Darussalam, serta menjuarai pertandingan Da’i Muda di Jakarta, Indonesia.

 

“Saya amat berterima kasih kepada ibu bapa saya, Zarini Che Daud dan Wan Ismail Wan Mahmod, serta barisan pensyarah UPMS yang sentiasa menjadi pendorong utama dalam perjalanan ini,” katanya.

 

Beliau berpandangan bahawa bidang pertanian bukan sekadar ilmu tentang tanaman, tetapi juga ilmu kehidupan yang mendidik tentang kesabaran, ketekunan dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.

 

“Bidang ini mengajar saya untuk menghargai rezeki, memahami nilai kerja keras para petani, dan menyedari bahawa setiap makanan di meja adalah hasil jerih payah insan yang bersungguh,” ujarnya.

 

Wan Irfan turut menzahirkan rasa bangga terhadap program pengajian di UPMS yang memberi kefahaman mendalam tentang peranan pertanian dalam kelangsungan hidup dan kesejahteraan masyarakat.

 

“Ada pepatah Melayu mengatakan, berbudi pada tanah kerana tanah akan membalas hasilnya. Saya percaya bidang ini akan terus menjadi teras keterjaminan makanan dan pembangunan negara,” katanya.

 

Kini, beliau sedang melanjutkan pengajian di peringkat Bacelor Pendidikan Sains Pertanian dengan Kepujian di Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), UPM kampus Serdang, dengan tekad menjadi pendidik yang bukan sahaja menyampaikan ilmu tetapi membentuk generasi muda agar mengenal makna kehidupan dan menghargai jasa alam serta masyarakat.

 

“Saya ingin mengajak rakan belia untuk berani meneroka bidang ini. Pertanian bukan sekadar pekerjaan, tetapi perjuangan demi kelangsungan manusia,” katanya penuh semangat.

 

WYLBWA0~