Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

SERDANG, 5 Disember - Menjadi anak pertama dalam keluarga yang menjejakkan kaki ke menara gading, kejayaan Malini Ravi Chandran, 27, bukan sekadar miliknya, tetapi simbol harapan seluruh keluarga pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-49 hari ini.
Graduan Bacelor Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian (Pengurusan Sumber Manusia) itu yang merupakan penerima tajaan Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG), Kementerian Pendidikan Tinggi membuktikan bahawa sokongan terancang kepada pelajar generasi pertama universiti mampu mengubah landskap kehidupan sebuah keluarga.
“Program SULUNG memainkan peranan besar dalam memastikan pengajian saya dapat diteruskan tanpa beban kewangan yang menghimpit. Ia memberi nafas lega kepada saya dan keluarga untuk fokus kepada pelajaran,” katanya.
Mengimbas kembali perjalanan pengajiannya, Malini mengakui pandemik COVID-19 menjadi episod paling mencabar apabila beliau terpaksa menunda pengajian.
“Pada waktu itu saya rasa seakan hilang arah. Namun pengalaman getir itu mengajar saya tentang kekuatan diri dan keupayaan untuk bangkit semula. Walaupun ada masa saya berasa putus asa, pengalaman itulah yang membentuk keyakinan dan kematangan diri saya hari ini,” ujarnya.
Tidak sekadar cemerlang dalam akademik, Malini turut menonjol sebagai usahawan siswa melalui penubuhan Meethi Arts, sebuah usaha e-dagang yang menyediakan perancang, poster dan video jemputan digital.
“Kerja sambilan ini bukan sahaja menjana pendapatan, malah memperkukuh kemahiran saya dalam kreativiti, pemasaran dan pengurusan perniagaan. Apa yang saya pelajari di UPM saya terapkan terus dalam perniagaan,” katanya.
Beliau berkata, status sebagai anak sulung yang menjadi harapan keluarga sering menjadi penguat semangat untuk tidak berputus asa.
“Setiap langkah saya disokong oleh keluarga, rakan, pensyarah dan pihak fakulti. Tanpa mereka, saya tidak berada di sini hari ini,” ujarnya penuh penghargaan.
Malini percaya Program SULUNG bukan sahaja membantu dari segi kewangan, malah menjadi pemangkin mobiliti sosial bagi keluarga yang pertama kali menghantar anak ke universiti.
“Sebagai pelajar SULUNG, saya rasa bertanggungjawab untuk membuka jalan kepada adik-adik dan generasi selepas saya. Saya mahu mereka lihat bahawa latar belakang keluarga bukan penghalang untuk berjaya, asalkan peluang dan sokongan yang betul diberikan,” katanya.






