Oleh: Balqis Bakri

SERDANG, 4 Disember - Dari makmal kecil di Universiti Putra Malaysia (UPM) ke pentas pengiktirafan antarabangsa, nama Nurhayatul Nira Ramli kini terpahat sebagai antara pendidik dan inovator pendidikan awal kanak-kanak paling berpengaruh.
Graduan Master Sains Psikologi Pendidikan UPM itu diiktiraf sebagai Wiki Impact 100 Changemakers in Malaysia 2025 susulan kejayaannya membangunkan inovasi “Kit Bijak Wang: Anak Bijak Cerdik Duit”, alat bantu mengajar berasaskan permainan yang memperkenalkan literasi kewangan kepada kanak-kanak. Hasil kajiannya diterbitkan dalam jurnal berimpak tinggi dan menjadi rujukan pembuat dasar dalam memperkukuh pendidikan kewangan awal negara.
Beliau turut menerima Outstanding Educator Award 2025, dilantik sebagai Advokat Program Sekolah Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta diundang sebagai pembentang antarabangsa di International Digital Education Conference (IDEC) 2025 di Goethe University, Frankfurt.
Sebelum itu, beliau dinobatkan Asia Best Teacher of the Year (Preschool) sempena Education Conclave 2024 serta memenangi Pingat Emas Pertandingan STEMADANI 2024.
Namun di sebalik deretan anugerah, perjalanan Nurhayatul sarat ujian peribadi. Ketika mengikuti pengajian sarjana mod penyelidikan di UPM, beliau berdepan tekanan hebat sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila suami tidak bekerja dan anak-anak mengikuti PdPR, sedangkan beliau perlu menyiapkan penyelidikan.
“Sebagai ibu, isteri, pendidik dan pelajar pada masa yang sama, ada ketika saya rasa sangat terbeban dan tertekan. Tetapi saya sedar, saya tidak boleh biarkan diri tenggelam dalam emosi itu terlalu lama,” katanya ketika ditemui di Majlis Konvokesyen UPM ke-49, hari ini.
Beliau bangkit menyusun semula rutin hidup dengan disiplin menggunakan perancang harian, membahagikan tugas rumah secara ‘teamwork’ bersama anak-anak dan berpaut pada kekuatan spiritual.
“Saya belajar, ketenangan datang apabila hubungan kita dengan Allah terjaga. Dari situ, barulah datang idea dan kekuatan,” katanya lagi.
Sumber kekuatan lain hadir daripada pesanan ringkas tetapi keramat daripada ibunya: jaga tidur, rehat yang cukup dan jangan panik mengejar apa-apa.
“Hidup kena tenang, jangan terburu-buru,” pesan itu, ujar beliau, membentuk peribadinya sebagai pendidik yang tenang tetapi fokus.
Bagi Nurhayatul, kejayaan sebenar bukan sekadar trofi dan gelaran, sebaliknya apabila setiap inovasi memberi makna kepada kehidupan murid.
“Setiap senyuman murid ketika belajar menggunakan kit itu adalah bukti bahawa perubahan sedang berlaku, walaupun bermula di ruang kelas yang kecil,” katanya.






