Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar
SERDANG, 11 Julai – Universiti Putra Malaysia (UPM) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Al-Farahidi University (AFU) bagi memperkukuh kerjasama akademik dan penyelidikan rentas sempadan.
Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata sebagai universiti penyelidikan intensif, UPM sentiasa mengamalkan semangat kerjasama antarabangsa.
“Kerjasama dengan institusi global bukan sahaja mengukuhkan penawaran akademik universiti, malah meningkatkan keupayaan kolektif kita untuk menangani cabaran kesihatan yang kompleks,” katanya.
Selain itu, kerjasama ini sejajar dengan Matlamat 3 Pelan Strategik UPM 2021-2025, iaitu Melestarikan Ekosistem Jaringan Industri dan Masyarakat.
Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UPM, Prof. Dr. Normala Ibrahim, berkata melalui perjanjian ini, kedua-dua institusi akan bekerjasama dalam Program Sarjana Sains (mod penyelidikan) khusus dalam bidang Pengurusan Perkhidmatan Kesihatan.
“Kerjasama ini akan membuka peluang luas dalam perkongsian kepakaran dalam bidang pengurusan perkhidmatan kesihatan,” katanya.
Tambah beliau, jaringan kerjasama ini juga adalah usaha melahirkan pemimpin masa depan dalam pengurusan perkhidmatan kesihatan.
Turut hadir, Presiden Al-Farahidi University, Iraq, Prof. Dr. Tareq Hafdhi Al-Khayat, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Dr. Zamberi Sekawi dan Pengarah Pusat Jaminan Kualiti UPM, Prof. Ir. Dr. Abd. Rahim Abu Talib.