
SERDANG, 21 November – Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM) terus memperkukuh agenda kebolehpasaran graduan dengan penganjuran FSM Career Boost 2.0, inisiatif pembangunan kerjaya yang menghubungkan pelajar tahun akhir dengan pemain utama industri makanan dan perkhidmatan.
Program dua hari yang berlangsung pada 15 dan 21 November itu memberi fokus kepada persediaan komprehensif memasuki alam pekerjaan khususnya bagi pelajar Bacelor Sains Pengurusan Perkhidmatan Makanan (dengan Kepujian) (BSPPMdK) dan Bacelor Sains Pengajian Makanan dengan Kepujian (BSPMdK).

Pengarah program, Prof. Madya Dr. Siti Fatimah Mohamad, berkata penganjuran berterusan ini selaras dengan komitmen FSTM dalam menyokong Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan, Kementerian Pendidikan Tinggi, selain memastikan graduan UPM kekal kompetitif dalam pasaran yang semakin dinamik.
“FSM Career Boost bukan sekadar program persediaan kerjaya, tetapi platform strategik yang menyatukan pengalaman industri dengan dunia akademik. Usaha konsisten ini penting bagi melahirkan graduan berkualiti dan menjadi pilihan majikan,” katanya.
Program ini menghimpunkan penceramah berpengalaman, fasilitator fakulti serta wakil industri melalui sesi intensif meliputi penulisan resume, perkongsian pengalaman latihan industri, persediaan menghadapi temu duga dan siri bimbingan meningkatkan keyakinan diri pelajar.
Selain itu, antara sesi tumpuan ialah taklimat oleh Koh Mui Han, perunding dan Fellow TalentCorp, yang berkongsi strategi penting menghadapi temu duga latihan industri dan pekerjaan selain tip menyesuaikan diri di tempat kerja.

FSM Career Boost 2.0 diteruskan pada 21 November dengan sesi ceramah kerjaya bersama organisasi industri terkemuka termasuk ZUS Coffee, Mesra Retail & Café Sdn. Bhd., serta Putrajaya Leisures and Services Group Sdn. Bhd. (PULSE Group). Pelajar berpeluang mendapatkan maklumat langsung mengenai perkembangan semasa industri makanan, peluang latihan industri dan prospek kerjaya selepas bergraduat.
Penganjuran FSM Career Boost 2.0 sekali lagi membuktikan peranan aktif FSTM UPM dalam merapatkan jurang antara akademia dan keperluan sebenar industri, sekaligus melahirkan graduan yang lebih bersedia memasuki dunia pekerjaan.






