SELANGOR, 13 Januari –Seramai 67 pelajar program Bacelor Sains Hortikultur dan Bacelor Teknologi Pertanian Pintar, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan program AgroPeace Day di Masjid Jamek Al-Amaniah, Kampung Sg Tua Baharu, Batu Caves dalam usaha memperkenalkan pertanian teknologi moden kepada komuniti.
Program ini bertujuan memberi impak positif kepada komuniti melalui pengenalan teknologi moden dan pendekatan lestari dan mampan dalam pertanian menarik seramai 25 orang peserta dewasa dan 15 orang kanak-kanak.
Pengarah program, Muhammad Hafiz Madzlan, 25, daripada program Bacelor Sains Hortikultur dengan Kepujian, melahirkan rasa syukur atas kerjasama dan sokongan pelbagai pihak yang telah membantu merealisasikan program ini.
“Pengisian program ini terbahagi kepada dua, iaitu kepada dewasa dan kanak-kanak. Antara aktiviti menarik untuk dewasa adalah seperti menanam sayuran menggunakan teknik hidroponik, serta penghasilan baja kompos daripada sisa tumbuhan.
“Manakala bagi kanak-kanak dimulakan dengan aktiviti mewarna pasu, penanaman anak pokok serta aktiviti sensori pertanian kepada kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah bagi memupuk kreativiti mereka,” ujar beliau.
Penyelaras program, juga merupakan pensyarah di Jabatan Teknologi Pertanian, Dr. Nur Bahiah Mohamed Haris berkata perkongsian ilmu ini menyokong usaha memperkukuhkan pengetahuan komuniti dalam bidang pertanian, meningkatkan kesedaran serta minat komuniti terhadap pertanian.
Program ini merupakan sebahagian daripada keperluan subjek Pengembangan Pertanian (TKP3201) dan program Service Learning Malaysia (SULAM), Fakulti Pertanian menjadi platform kepada pelajar mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari dalam subjek pengembangan pertanian.
Ketua Kampung Sg Tua Baharu, Batu Caves, Zulkifli Hamzah berkata program ini sangat memberi inspirasi dan memberi manfaat khususnya kepada komuniti setempat tentang penanaman hidroponik dan juga penyediaan kompos yang baik untuk komuniti.
“Komuniti yang hadir dapat melihat perkembangan teknologi pertanian melalui pameran bas pengembangan oleh Pusat Transformasi Komuniti Univeristi (UCTC), UPM dan berharap program ini dapat diteruskan untuk mengukuhkan lagi kolaborasi dan pemindahan ilmu antara universiti dan komuniti bagi memperkasakan pertanian,” katanya.