?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Aiman genggam ijazah di sebalik perjuangan pandemik

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

 

 

SERDANG, 4 Disember- Ketika pandemik COVID-19 melanda negara dan petugas kesihatan bergelut di barisan hadapan, Muhammad Aiman Rosli, 26, terpaksa membahagikan masa antara tuntutan kerja di Pejabat Kesihatan dan pengajian di universiti. Hari ini, segala kepenatan itu terbayar apabila beliau berjaya menggenggam Ijazah Bacelor Sastera Bahasa dan Linguistik Melayu dengan Kepujian, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

Aiman mengakui fasa awal pengajian di UPM merupakan tempoh paling mencabar dalam hidupnya, khususnya ketika kes COVID-19 meningkat mendadak pada tahun 2020.

 

“Saya sering pulang lewat malam kerana beban tugas di Pejabat Kesihatan. Kadang-kadang terlalu letih untuk memberi komitmen penuh terhadap pelajaran,” katanya, mengimbas kembali minggu-minggu genting ketika negara berdepan krisis kesihatan awam.

 

Tekanan mental dan fizikal yang berpanjangan akhirnya memaksa Aiman membuat keputusan sukar dengan menangguhkan pengajian selama satu semester.

 

“Memang saya sedih, seolah-olah tertinggal jauh di belakang. Tapi keputusan itu perlu untuk beri ruang kepada saya memulihkan mental dan mengatur semula hidup,” jelasnya.

 

Sebagai pelajar yang lebih selesa dengan pembelajaran visual dan bersemuka, pelaksanaan pengajian secara dalam talian ketika pandemik turut menjadi satu lagi cabaran.

 

“Saya perlukan interaksi terus dengan pensyarah dan rakan untuk lebih faham. Bila semuanya atas talian, memang mencabar. Banyak perkara yang dulu boleh ditanya secara bersemuka, kini perlu saya usahakan sendiri,” katanya.

 

Walaupun sentiasa kepenatan dengan tuntutan kerja dan pelajaran, Aiman tetap berusaha mengikuti setiap kelas dan memanfaatkan waktu rehat selepas kerja bagi menyiapkan tugasan, kadangkala “bertahan” di pejabat hingga lewat malam demi tidak keciciran dalam pelajaran.

 

Namun, menurut Aiman, cabaran terbesar sepanjang pengajian bukan sekadar pandemik atau tugasan bertimbun, sebaliknya kehilangan seorang rakan seperjuangan yang meninggal dunia akibat masalah jantung kronik.

 

“Kehilangannya sangat memberi kesan. Arwah seorang yang komited dan menjadi tempat rujukan saya. Bila beliau tiada, saya rasa seperti hilang seseorang yang banyak membantu dan menggerakkan kumpulan kami,” katanya sebak.

 

Beliau berkata, walaupun kesihatan arwah semakin merosot sejak semester dua, semangat rakannya itu untuk mendapatkan segulung ijazah menjadi inspirasi kepada semua rakan sekelas.

 

“Bagi saya, inilah erti sebenar ‘jauh perjalanan luas pandangan’. Pengalaman ini lebih besar daripada sekadar mendapatkan sehelai ijazah. Ia mengajar saya tentang nilai pengorbanan, persahabatan dan erti menghargai setiap peluang yang ada,” ujarnya.

WYMEPA~