Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
PUTRAJAYA, 19 Disember – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan universiti melalui penganjuran Majlis Gala Dinner UPM – ASEAN Cultural Nexus 2025: A Celebration of Excellence yang berlangsung di The Everly Hotel, Putrajaya baru-baru ini.
Majlis anjuran Pusat Antarabangsa UPM (i-PUTRA) ini menjadi platform strategik untuk menghargai sumbangan warga universiti dan rakan pemegang taruh yang telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan UPM di peringkat antarabangsa, khususnya melalui pelaksanaan program mobiliti dan jaringan strategik serantau ASEAN.
Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohamad Sadullah berkata, penganjuran majlis tersebut mencerminkan komitmen berterusan UPM dalam memperkukuh ekosistem pengantarabangsaan yang holistik dan berimpak tinggi.
“Agenda pengantarabangsaan bukan sekadar pertambahan bilangan pelajar antarabangsa, malah merangkumi pembangunan jaringan strategik, kolaborasi akademik dan pemerkasaan reputasi global universiti.
"Majlis ini adalah simbol penghargaan kepada semua pihak yang telah bersama-sama menjayakan aspirasi tersebut,” katanya ketika berucap merasmikan majlis.
Majlis ini turut meraikan penyampaian anugerah dalam pelbagai kategori di bawah Program Mobiliti UPM, termasuk Mobiliti Inbound, Mobiliti Outbound, Summer Programme serta pengiktirafan kepada Pusat Tanggungjawab yang mencatat jumlah pelajar antarabangsa tertinggi bagi peringkat prasiswazah dan pascasiswazah.
Secara keseluruhan, sebanyak 12 anugerah telah disampaikan kepada penerima yang menunjukkan kecemerlangan dalam memperkukuh pencapaian Petunjuk Prestasi Utama universiti.
Pengarah i-PUTRA, Prof. Dr. Alyani Ismail berkata, penganjuran Majlis Gala Dinner ini juga selaras dengan usaha memperkukuh hubungan serantau melalui inisiatif UPM–ASEAN Cultural Nexus, yang menekankan aspek kepelbagaian budaya, kolaborasi akademik dan semangat komuniti ASEAN.
“Penglibatan aktif fakulti, pelajar dan rakan strategik antarabangsa telah menyumbang secara signifikan kepada kejayaan program mobiliti UPM. Penganugerahan ini adalah satu bentuk pengiktirafan terhadap usaha kolektif tersebut,” katanya.
Selain penyampaian anugerah, majlis ini turut menyaksikan pelancaran awal Pelan Pemacu Kesohoran Global UPM dan Putra Internasional System (Sistem PINS) sebagai inisiatif strategik universiti untuk memperkukuh pengurusan pengantarabangsaan secara lebih sistematik dan bersepadu.






