Oleh: Noor Eszereen Juferi

SERDANG, 4 Disember – Kekuatan kekuatan jiwa dan tekad luar biasa membawa graduan Master Komunikasi Korporat, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), An-Zurie Ayesya Abu Johan, bangkit dan berjaya bergraduat di Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-49, hari ini.
An-Zurie Ayesya, 33, berkata pada semester ketiga, beliau dan suaminya, Ahmad Fahmie Amir, 36, terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja berhampiran Southville. Pasangan itu terbabas berpunca untuk mengelakkan daripada melanggar kenderaan lain yang menyebabkan mereka mengalami kecederaan serius.
“Saya bersama suami mengalami kecedaraan yang parah, humurus saya patah suami pula ACL dan otot bahu koyak dan saya perlu melallaui tiga kali pembedahan dan suami dua pembedahan,” katanya.
Selepas kemalangan itu beliau akui ianya mengubah seluruh rutin hidup mereka. Tempoh pemulihan yang panjang membuatkan beliau hampir menangguhkan pengajian.
“Tangan kanan saya tidak boleh digerakkan, nak menaip pun susah. Saya juga tidak boleh memandu,” katanya.
Belum sempat pulih daripada kejutan kemalangan, An-Zurie Ayesya sekali lagi diuji apabila ibunya, Prof. Madya Dr. Aida Nasirah Abdullah yang juga bekas pensyarah UPNM menghembuskan nafas terakhir akibat kanser tiroid pada Ogos 2024.
“Saya baru keluar hospital dan mahu menjenguk ibu tetapi doktor maklumkan ibu sudah tiada. Saya tak sempat jumpa atau jaga. Itu paling berat untuk saya,” katanya
Pemergian ibunya membawa makna yang lebih dalam pada hari konvokesyen ini kerana arwah ibunya juga merupakan alumni UPM yang menyambung program pengajian seperti beliau.
“Arwah ibu sangat teruja apabila saya sambung belajar di UPM dan hari ini saya berdiri di sini untuk memenuhi harapan itu walaupun beliau tidak sempat melihat saya bergraduat,” katanya.
Namun dengan sokongan rakan sekelas, suami dan pensyarah menjadi tali yang mengikat semangatnya agar tidak mengalah. Malah, pensyarah memberikan kelonggaran bagi beliau mengambil peperiksaan menggunakan komputer ketika tangannya masih belum pulih sepenuhnya.
“Saya bersyukur kerana mereka saya memperoleh motivasi untuk menguatkan diri saya untuk menjadi lebih tabah dan sabar dalam menghadapi dugaan yang sedang saya alami,” katanya.
Beliau yang berkhidmat di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, berpandangan pendidikan tidak harus dipandang ringan.
“Masyarakat perlu sedar kepentingan pembelajaran bukan hanya street smart malah pembangunan sahsiah, cara kita bergaul serta hubungan yang kita bentuk di kelas adalah untuk membina masa depan yang lebih baik,” katanya.






