?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Kecemerlangan Holistik Amir Zakwan Bukti Layak Terima Anugerah Canselor UPM

Oleh: Muhammad Nur Syazwan Wafiy Mohd Aseri

 

 

SERDANG - Kejayaan Muhammad Amir Zakwan Mohd Zailani menerima Anugerah Canselor pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-49 di sini, baru-baru ini, menjadi bukti bahawa gabungan kecemerlangan akademik, kepimpinan, sukan dan penglibatan komuniti mampu melahirkan graduan holistik yang menjadi aset negara.

 

Graduan Bacelor Sains Fizik dengan Pendidikan (Kepujian) itu menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.8, sambil aktif memimpin, berkhidmat kepada komuniti dan mewakili universiti dalam sukan berprestij sepanjang empat tahun pengajian.

 

Sepanjang bergelar mahasiswa, Amir pernah memegang jawatan Presiden Majlis Perwakilan Kelab Sains (2024/2025) dan menjadi penggerak utama pelbagai program berimpak tinggi, termasuk Karnival Jom Sains & Komuniti di Putrajaya yang menghimpunkan ratusan pelajar sekolah bagi mendekatkan dunia sains kepada masyarakat.

 

“Program ini ajar saya bagaimana mengurus pasukan, berkomunikasi dengan pengetua, guru dan pihak luar. Ia pengalaman yang tidak tertulis dalam silibus, tetapi sangat membentuk diri saya dan membuka mata tentang potensi sebenar graduan untuk memberi impak kepada masyarakat,” katanya.

 

Penglibatan Amir sebagai duta STEM mengukuhkan lagi peranan UPM dalam memasyarakatkan sains, terutamanya kepada golongan muda yang bakal menjadi pelapis negara dalam bidang teknologi dan inovasi.

 

Dalam masa yang sama, Amir turut aktif sebagai atlet skuasy dan mewakili UPM dalam temasya Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2023, sekali gus membuktikan keupayaannya mengekalkan disiplin, ketahanan mental dan fokus di dalam serta di luar bilik kuliah.

 

“Jadual saya padat, tetapi itu bukan alasan. Bila masa belajar itu sedikit, saya akan lebih fokus. Akademik tetap keutamaan saya,” jelasnya, mengakui bahawa pengurusan masa menjadi kunci utama untuk seimbang antara latihan, kelas dan tanggungjawab kepimpinan.

 

Di sebalik pencapaian cemerlang itu, Amir tidak lupa menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa yang sentiasa menjadi sumber kekuatan dan doa.

 

“Setiap kali ada peperiksaan, saya akan maklumkan kepada mak ayah. Doa mereka adalah kekuatan paling besar. Tanpa mereka, saya tidak akan berada di sini,” ujarnya sebak.

 

Minat mendalam terhadap penyelidikan mendorong Amir menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Photonic Engineering di Institut Nanosains dan Nanoteknologi, UPM, sekali gus menzahirkan komitmennya untuk terus menyumbang dalam bidang sains dan teknologi.

 

“Saya minat mengajar, tetapi saya juga seronok berada di makmal. Saya mahu sumbangkan sesuatu melalui penyelidikan yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat dan negara,” tambahnya yang bercita-cita untuk menghasilkan inovasi yang mempunyai aplikasi sebenar dalam kehidupan.

 

Amir turut menzahirkan hasrat untuk kembali berkhidmat kepada UPM selepas menamatkan pengajian, selaras dengan moto universiti, Berilmu Berbakti, dengan membawa kembali ilmu, pengalaman dan kepimpinan demi pembangunan universiti serta pembentukan mahasiswa generasi akan datang.

 

“Saya berharap segala pengalaman dan pengetahuan yang saya peroleh dapat memberi impak positif kepada UPM dan menginspirasi pelajar lain untuk lebih berani mencuba, belajar dengan bersungguh-sungguh dan menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

WYMEPAw~