Wartawan Pelatih
Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM
Foto Oleh: Saleha Haron

SERDANG, 11 Jun – Kenaikan tarif import oleh Amerika Syarikat (AS) daripada 2% kepada 24% memberi tekanan kepada perdagangan antarabangsa negara, namun impaknya terhadap sektor pertanian secara keseluruhan dan keterjaminan makanan negara masih dianggap minimum.
Menurut Profesor Emeritus Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datuk Dr. Mad Nasir Shamsudin, sub-sektor tertentu seperti getah lebih terkesan berbanding makanan asas atau tanaman utama lain.
“AS merupakan pasaran eksport utama Malaysia. Kenaikan tarif ini memang beri kesan, tapi bukan secara menyeluruh. Yang terjejas secara langsung ialah eksport getah, kerana ia menyumbang sekitar 31% dalam sektor pertanian,” katanya ketika sesi Plenari 5: Kesan Tarif AS Terhadap Sektor Pertanian Malaysia sempena Persidangan Keterjaminan dan Sekuriti Makanan 2025 yang berlangsung di PKKSSAAS, UPM.
Tambah beliau, walaupun tarif lazimnya digunakan untuk melindungi industri domestik dan meningkatkan hasil negara, peranannya kini telah berubah menjadi instrumen rundingan dalam perdagangan global.
“Negara kecil seperti Malaysia lebih mudah terkesan. Tapi penting untuk faham, tidak semua produk terkena kesan sama. Contohnya, getah adalah komoditi tidak anjal, jadi kenaikan harga tak banyak jejaskan permintaan. Sebaliknya, minyak sawit bersifat lebih anjal, jadi lebih sensitif terhadap tarif,” jelasnya.
Tarif Malaysia sebenarnya jauh lebih rendah berbanding negara-negara serantau seperti Indonesia (32%), Thailand (36%) dan Vietnam (46%), menjadikan Malaysia lebih terbuka dalam sistem perdagangan antarabangsa.
Keadaan ini tidak memberi kesan terhadap keterjaminan makanan negara, memandangkan produk yang dikenakan tarif bukan makanan asas dalam rantaian bekalan.
Dalam usaha meningkatkan ketahanan sektor pertanian terhadap ketidaktentuan global, beliau mencadangkan beberapa langkah strategik, antaranya memperluas pasaran eksport, meningkatkan daya saing produk serta memanfaatkan sepenuhnya perjanjian perdagangan bebas seperti ASEAN Free Trade Area (AFTA) dan Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP).
Selain pertanian, sektor barangan elektrik dan elektronik juga antara yang paling terkesan, dengan eksport dan nilai perdagangan dijangka mengalami penurunan ketara jika tekanan tarif berterusan.
Sementara itu, PKMK2025 anjuran UPM menghimpun seramai 686 peserta dari pelbagai agensi kerajaan dan industri bagi membincangkan hala tuju dasar pertanian serta keterjaminan makanan negara.