?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Ketabahan Asmawi bawa kejayaan PhD

Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim

 

 

SERDANG, 2 Disember – “Pengimejan perubatan bukan sekadar kerjaya, ia adalah panggilan hidup saya,” kata Mohamad Asmawi Mohamad Ariffin, 39, yang baru menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengimejan Perubatan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

Beliau memulakan pengajian Diploma Radiografi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 2004, dan pada 2007 mula bekerja sebagai Juru X-Ray Diagnostik di PPUM. 

 

Asmawi menyatakan bahawa dia juga terlibat dalam pendidikan dan penyelidikan, menjadi rujukan bagi doktor-doktor, serta menyedari betapa pentingnya bidang ini dalam diagnosis pelbagai penyakit.

 

“Saya memilih bidang ini kerana sejarah keluarga saya yang mempunyai masalah kepatahan tulang, malah anak saya sendiri juga mengalami perkara sama. 

 

“X-Ray bukan sekadar alat, ia nadi utama untuk mendiagnosis penyakit.

 

“Disinilah minat saya berkembang untuk mendalami bidang pengimejan perubatan, bukan sahaja sebagai kerjaya, tetapi juga sebagai cara untuk membantu pesakit dan mendidik generasi baru pengamal perubatan,” ujarnya

 

Sepanjang perjalanannya dalam menyempurnakan PhD, beliau menghadapi cabaran peribadi termasuk kehilangan bayi, namun sokongan keluarga dan ketabahan diri membolehkannya bangkit semula.

 

“Saya pernah berada dalam fasa berehat ketika pengajian semester 4, dua tahun lalu. 

 

“Pada waktu itu, saya dan isteri tidak merancang untuk mempunyai anak, namun apabila dia hamil, kami sangat teruja menantikan kelahiran anak pertama.

 

“Sepanjang pengajian, saya tidak berpisah dengan isteri kerana dia mempunyai alahan terhadap ubat tertentu dan malangnya, ketika kandungan mencecah 9 bulan, bayi kami meninggal dunia dengan meninggalkan impak yang sangat mendalam buat kami sekeluarga.

 

Tambah beliau, saya perlu berada di sisi isteri selama empat bulan untuk elak beliau mengalami postpartum depression, manakala saya sendiri mengambil masa lima bulan untuk menenangkan diri. 

 

“Setelah isteri tenang, dia memberi semangat kepada saya untuk bangkit semula dalam menghabiskan pengajian saya kerana dia percaya bahawa saya mampu meneruskan cita-cita dan membawa manfaat bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga untuk keluarga dan pesakit yang akan saya bantu pada masa depan,” ujarnya.

 

Pada 2015, Asmawi menerima tawaran menjadi pengajar di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Johor Bahru, sebelum berpindah ke ILKKM Sungai Buloh sehingga kini. 

 

Beliau aktif dalam bidang pengajaran, terutamanya dalam pengimejan jantung, di mana beliau membantu mendiagnosis masalah seperti penyumbatan jantung dan kegagalan injap jantung.

 

Tesis PhD beliau memberi tumpuan kepada kajian dos radiasi dan penilaian kualiti imej bagi pesakit yang menjalani pemeriksaan CT scan abdomen, salah satu prosedur dengan tahap radiasi tertinggi. 

 

“Setiap pemeriksaan dan imej yang diambil bukan sekadar nombor atau gambar tetapi mewakili nyawa pesakit.

 

“Saya ingin memastikan setiap pesakit mendapat rawatan yang selamat dan tepat serta berkualiti, sambil memberi inspirasi kepada pelajar supaya mereka melihat pengimejan perubatan bukan sekadar kerjaya, tetapi sebagai tanggungjawab,” katanya.

 

Di sebalik kejayaan akademik dan profesional, Asmawi seorang suami dan ayah yang penyayang. Isterinya, Pegawai Juru X-Ray di Hospital Dungun, dan anak lelakinya berusia 14 tahun belajar di Pasir Puteh.

 

Cabaran jarak, kewangan dan tanggungjawab keluarga tidak menghalang beliau daripada terus mengejar ilmu dan berkongsi pengalaman dengan generasi baru pengamal perubatan.

 

“Ketabahan adalah perjuangan tanpa henti yang memerlukan kesabaran dan saya bangkit bukan hanya untuk diri sendiri tetapi untuk keluarga saya iaitu isteri, anak dan ibu bapa,” ujarnya.

WYMEMAW~