Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim
SERDANG, 18 Oktober - Pertanian bandar muncul sebagai satu pendekatan inovatif yang menghubungkan antara keperluan makanan, kesejahteraan komuniti dan kelestarian alam sekitar.
Ketua Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Puteri Edaroyati Megat Wahab dalam forum ‘Pertanian Bandar & Ekosistem Sosial: Komuniti, Teknologi dan Kelestarian’ berkata, pertanian bandar merupakan aktiviti pertanian yang dijalankan di kawasan bandar atau pinggir bandar.
“Pertanian bandar bukan sahaja tertumpu kepada penghasilan tanaman seperti sayur-sayuran, herba dan buah-buahan, tetapi juga berperanan penting dalam membentuk hubungan sosial yang harmoni serta memupuk nilai kelestarian dalam kalangan masyarakat bandar,” katanya.
Menurut beliau, peranan UPM dalam pembangunan pertanian bandar (urban farming) merangkumi pelbagai aspek penting yang menyokong agenda keselamatan makanan dan kelestarian negara.
“UPM bukan sahaja menjalankan penyelidikan (R&D) dalam bidang pertanian bandar, tetapi turut berkongsi hasil inovasi dan teknologi tersebut bersama komuniti bandar melalui pelbagai program pemindahan ilmu serta latihan secara hands-on.
“Inisiatif ini bertujuan untuk memperkukuh pengetahuan dan kemahiran masyarakat bandar dalam mengusahakan tanaman secara mampan, efisien dan mesra alam,” ujarnya.
Dr. Puteri Edaroyati juga menjelaskan bahawa komuniti bandar yang terlibat dalam pertanian bandar terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Penglibatan pelbagai lapisan masyarakat ini bukan sahaja menggalakkan kerjasama komuniti, malah memupuk semangat gotong-royong dalam menjayakan kebun komuniti masing-masing,” katanya.