?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

UPM raih tempat ketiga Anugerah AKRI 2025 hasil inovasi kurikulum berimpak tinggi

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar

 

SERDANG, 5 November – Sekumpulan pensyarah Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM) mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih tempat ketiga Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Tinggi: Reka Bentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (AKRI) 2025 bagi kategori Kurikulum Program Pengajian Inovatif.

 

Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, sebagai pengiktirafan kepada pendekatan inovatif dalam reka bentuk kurikulum dan penyampaian pengajaran di institusi pendidikan tinggi negara.

 

Kejayaan ini dicapai hasil usaha sekumpulan pensyarah Fakulti Kejuruteraan UPM yang diketuai oleh Dr. Mus’ab Abd. Razak, melalui inovasi pembelajaran berasaskan teknologi dan pengalaman industri yang berjaya memperkaya kaedah pengajaran serta meningkatkan hasil pembelajaran pelajar. Kumpulan ini turut dianggotai tenaga akademik pelbagai disiplin dalam bidang keselamatan proses, kejuruteraan kimia, mekanikal dan pendidikan kejuruteraan, yang bersama-sama membangunkan pendekatan pengajaran berimpak tinggi dan relevan dengan keperluan industri semasa.

 

Menurut Dr. Mus’ab, pencapaian ini menjadi pemangkin kepada usaha berterusan UPM dalam memperkukuh inovasi pengajaran sejajar dengan aspirasi universiti sebagai institusi bereputasi global.

 

“Pendidikan masa kini menuntut kreativiti dan keanjalan dalam reka bentuk kurikulum agar pelajar bukan sahaja memperoleh ilmu, tetapi juga kemahiran berfikir kritikal, nilai kemanusiaan dan keupayaan menyelesaikan masalah sebenar. Inovasi dalam pengajaran perlu menyentuh hati dan minda pelajar,” katanya.

 

Beliau berkata, pengiktirafan tersebut diberikan kepada program Sarjana Keselamatan Proses dan Pencegahan Kehilangan (Master in Process Safety and Loss Prevention) yang dibangunkan khas untuk golongan profesional bekerja. Program itu berpaksikan Pendekatan Pendidikan Berasaskan Hasil (OBE) dan dipetakan pada Tahap 7 Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF), dengan penekanan terhadap kemahiran dunia sebenar seperti pengurusan risiko, penilaian akibat serta reka bentuk sistem keselamatan industri.

 

“Program ini dibangunkan dengan kerjasama rapat bersama pihak industri bagi memastikan kandungan kurikulumnya kekal relevan dengan cabaran keselamatan industri masa kini dan masa hadapan. Matlamat utama kami adalah untuk melahirkan tenaga profesional yang bukan sahaja mahir secara teknikal, tetapi juga mampu memimpin budaya kerja selamat dan mampan di tempat kerja,” katanya.

 

Tambah beliau, melalui pendekatan pembelajaran berasaskan aplikasi sebenar dan kolaborasi industri, program ini terbukti berjaya melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat global.

 

“Kejayaan program ini turut dizahirkan melalui kadar kebolehpasaran graduan yang melebihi 90 peratus, dengan lebih 70 peratus alumni kini memegang jawatan kanan di organisasi masing-masing. Ramai antara mereka turut kembali sebagai penceramah jemputan dan pakar rujuk dalam bidang keselamatan dan pencegahan kemalangan,” katanya.

 

Dr. Mus’ab berkata, visi program ini berpegang pada prinsip ‘Sifar Kemalangan’, yang menjadi teras dalam memperkasa profesional tempatan menghadapi cabaran keselamatan industri global yang semakin kompleks.

 

“Kami mahu memastikan graduan UPM bukan sahaja memahami aspek teknikal keselamatan proses, tetapi juga mampu menanamkan budaya pencegahan dalam organisasi masing-masing. Kejayaan ini membuktikan UPM bukan sekadar pengeluar tenaga kerja mahir, tetapi peneraju transformasi pendidikan profesional berasaskan nilai dan tanggungjawab sosial,” katanya.

 

Dalam pada itu, AKRI merupakan inisiatif tahunan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi mengiktiraf amalan terbaik dalam reka bentuk kurikulum, penyampaian pengajaran serta pembangunan profesional akademik yang memberi impak tinggi terhadap pembelajaran dan pemerkasaan pelajar di seluruh institusi pengajian tingg

WYLGRAq~