?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Dua beradik tunaikan janji graduasi bersama dalam bidang perakaunan

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

 

 

SERDANG, 4 Disember - Demi menunaikan sebuah janji yang diikat sejak zaman Diploma, dua beradik, Kavitiraa Prabalan, 27, dan adiknya, Shaleni Prabalan, 26, melakar detik istimewa apabila bergraduasi bersama dalam program Bacelor Perakaunan (Kepujian) di Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

 

Lebih menyentuh hati, keputusan Shaleni memilih bidang perakaunan bukan kerana minat asalnya, tetapi sebagai tanda kasih dan sokongan kepada kakaknya agar mereka dapat belajar dan menamatkan pengajian dalam jurusan yang sama.

 

Kedua-dua mereka sebelum ini menamatkan pengajian di peringkat diploma dan bersepakat untuk melangkah lebih jauh dengan belajar bidang yang sama dan bergraduasi pada hari yang sama.

 

“Apabila kami sama-sama diterima masuk ke UPM, kami berjanji bahawa perjalanan ini mesti bermula dan berakhir bersama. Janji itu menjadi penguat semangat kami sepanjang tiga tahun pengajian,” kata Kavitiraa.

 

Menurut Kavitiraa, minatnya terhadap perakaunan mula berputik sejak Tingkatan Empat kerana tertarik dengan sifat subjek yang tersusun, logik dan menuntut ketelitian.

 

Namun, berbeza dengan Shaleni yang mengakui perakaunan bukanlah pilihan hatinya.

 

“Saya sebenarnya tidak begitu minat perakaunan. Tetapi saya pilih bidang ini kerana mahu belajar bersama kakak. Saya percaya jika kami ambil bidang yang sama, kakak boleh bimbing saya. Itu bentuk pengorbanan dan kasih sayang yang saya buat untuk keluarga kami,” kata Shaleni.

 

Perjalanan mereka tidak selalu mudah. Tekanan tugasan, kepenatan dan rasa hampir berputus asa pernah menghantui salah seorang daripada mereka pada satu-satu masa. Namun janji yang dipegang erat menjadi tali yang sentiasa menarik mereka kembali ke landasan.

 

“Bila salah seorang rasa nak mengalah, kami akan saling mengingatkan janji yang dibuat selepas diploma.

 

‘Kita sudah separuh jalan, jangan berhenti,’ itulah ayat yang selalu kami ulang untuk kuatkan semangat,” ujar Kavitiraa.

 

Mereka menegaskan, hubungan mereka tidak pernah dibayangi sikap bersaing, sebaliknya dibina atas semangat rakan seperjuangan.

 

“Kami tidak pernah melihat satu sama lain sebagai pesaing. Dari awal lagi kami setuju bahawa kami adalah rakan seperjuangan. Kami belajar sama-sama, buat tugasan bersama dan meraikan kejayaan masing-masing,” katanya.

 

Hari konvokesyen disifatkan sebagai momen paling emosional dalam hidup mereka, apabila dapat melihat satu sama lain berjubah konvokesyen, berdiri sebagai graduan dalam bidang yang sama  tanda sebuah janji yang akhirnya tertunai.

 

“Segulung ijazah ini bukan sekadar simbol pencapaian akademik, tetapi lambang kerja keras, pengorbanan dan ketabahan yang kami kongsi bersama,” kata mereka.

 

Lebih utama, kata mereka, kejayaan ini dihadiahkan kepada ibu bapa yang tidak pernah berhenti berdoa dan mempercayai kemampuan mereka.

 

“Terima kasih kepada ibu bapa kami kerana tidak pernah berhenti percaya walaupun kami sendiri kadang-kadang meragui diri. Kejayaan ini milik mereka juga,” ujar dua beradik itu dengan penuh rasa syukur.

WYMEQAq~