???? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

FBMK UPM anjur Sambutan Jubli Mutiara, lancar Buku Warisan Ilmu dan Peradaban

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Noor Azreen Awang

 

SERDANG, 26 Mei – Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) Universiti Putra Malaysia (UPM) meraikan Sambutan Jubli Mutiara sempena ulang tahun ke-30 penubuhannya hari ini.

 

Sambutan itu dirasmikan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari yang turut melancarkan buku Extension Education Goes Beyond Agriculture: Capability Building and Knowledge Transfer hasil karya mantan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Allahyarham Prof. Emeritus Datuk Dr. Rahim Md. Sail.

 

Dato’ Seri Amirudin berkata, karya Allahyarham Prof. Rahim ini mencerminkan kepakaran beliau dalam pembangunan kapasiti insan serta menjadi rujukan penting kepada penyelidik, pembuat dasar dan pengamal industri dalam memahami pendekatan strategik pemindahan ilmu.

 

“Allahyarham Prof. Rahim mempunyai jasa dan sumbangan besar dalam bidang akademik serta pembangunan kapasiti insan dan beliau juga terlibat dalam usaha penubuhan dan pemerkasaan FBMK,” katanya.

 

Kerjasama FBMK, UPM bersama Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) adalah usaha untuk merealisasikan pembinaan Rumah Selangor, sebagai rumah warisan yang signifikan di bawah titah Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Sultan Selangor.

 

“Saya percaya inisiatif ini bukan sekadar kolaborasi fizikal tetapi satu usaha mendalam dalam memupuk kefahaman budaya dan identiti bangsa terutama kepada generasi pelajar masa kini,” katanya.

 

Majlis yang bertemakan “Bahasa Berhemah, Komunikasi Berhikmah” itu turut menyaksikan pelancaran Logo 30 Tahun FBMK yang menjadi simbol kematangan dan sumbangan fakulti sepanjang tiga dekad.

 

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), UPM, Prof. Dr. Ir. B.T. Hang Tuah Baharuddin, berkata FBMK telah melahirkan ramai graduan yang berdaya saing, inovatif dan berupaya menyumbang kepada pembangunan masyarakat, negara dan dunia.

 

“Pencapaian ini adalah hasil dedikasi dalam pengajaran, penyelidikan dan khidmat masyarakat yang berteraskan bidang bahasa, komunikasi dan budaya,” katanya.

 

Dekan FBMK, UPM, Prof. Madya Dr. Hazlina Abdul Halim berkata FBMK memberikan komitmen sepenuhnya dalam memperkukuh peranannya sebagai pusat kecemerlangan akademik.

 

“Sambutan ini bukan sekadar perayaan, tetapi penghargaan kepada semua yang menyumbang termasuk pelajar, alumni, staf dan rakan strategik. Ia adalah cerminan aspirasi masa depan kami,” katanya.

 

Dalam pada itu, FBMK, UPM kini terdiri daripada empat jabatan utama Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Asing dan Komunikasi, mempunyai sejarah yang panjang sejak penubuhan Bahagian Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris di Kolej Pertanian Malaya, susulan penguatkuasaan Akta Bahasa 1967.

 

Bahagian tersebut kemudiannya berkembang menjadi Jabatan Bahasa di bawah Fakulti Pertanian pada tahun 1972, sebelum berpindah ke Fakulti Pengajian Pendidikan pada 1975. Transformasi penting berlaku pada 4 Januari 1995 apabila ia dinaik taraf sebagai Fakulti Pengajian Bahasa, dan secara rasmi dikenali sebagai FBMK pada 1 Januari 1999 dengan kemasukan Jabatan Komunikasi dari Fakulti Ekologi Manusia.

 

Kini, FBMK, UPM terus komited dalam menjadikan bahasa dan komunikasi sebagai teras pembinaan masyarakat berilmu, berintegriti dan berbudaya.

WYFdDAf~