???? | Universiti Putra Malaysia_OBÌåÓý

FBMK UPM Perkukuh Sokongan dan Prihatin terhadap Komuniti OKU

 

 

 

SERDANG, 6 Januari – Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), terus melangkah ke hadapan dalam menyokong komuniti kelainan upaya (OKU) dengan menganjurkan Program Prihatin Kasih OKU (PIKO) 2.0.

Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan sifat prihatin dalam kalangan mahasiswa terhadap komuniti OKU.

Menurut Pengarah Projek PIKO 2.0, Wan Nor Syuhada Wan Derahman, 23, program ini bukan sahaja memupuk nilai empati dalam kalangan warga UPM, tetapi turut memperkukuhkan peranan UPM sebagai platform mesra OKU.

“FBMK UPM merupakan fakulti dengan bilangan mahasiswa OKU yang paling ramai. Program seperti ini dapat meningkatkan kefahaman tentang keperluan golongan OKU serta mengeratkan hubungan antara mereka dengan mahasiswa lain.

“Di samping itu, program ini juga menyumbang kepada peningkatan reputasi UPM sebagai institusi yang prihatin dan inklusif, serta mampu menarik lebih ramai calon pelajar daripada golongan OKU,” katanya.

PIKO 2.0 merupakan lanjutan daripada kejayaan program sesi lepas yang menerima maklum balas positif dan memberi impak besar kepada komuniti UPM.

Beliau berharap program ini dapat dianjurkan di peringkat yang lebih besar pada masa hadapan, sekali gus menghargai sumbangan komuniti OKU dan terus menjaga kebajikan mereka.

Wan Nor Syuhada yang juga merupakan OKU penglihatan, meluahkan penghargaan terhadap kemudahan dan sokongan yang disediakan oleh fakulti.

“UPM banyak membantu saya, termasuk menyediakan kanta mata secara percuma untuk memudahkan pembelajaran.

“Di UPM, saya dilayan sama seperti rakan-rakan lain dan diberi peluang menyertai pelbagai program.

"Saya berharap masyarakat tidak memandang rendah kepada golongan OKU, kerana kami tidak minta untuk dilahirkan begini,” katanya.

SYBJGA4~