?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Kesediaan bekalan padi dan beras perlu kerjasama pelbagai pihak – Pakar

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Saleha Haron

 

SERDANG, 10 Jun – Isu ketersediaan bekalan padi dan beras negara tidak boleh dilihat semata-mata sebagai persoalan pertanian, sebaliknya merupakan soal keselamatan negara yang memerlukan kerjasama menyeluruh antara agensi kerajaan, sektor swasta, petani dan rakyat.

 

Felo, Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Datin Paduka Dr. Fatimah Mohamed Arshad, berkata dasar kerajaan yang melibatkan industri padi dan beras perlu difahami secara menyeluruh kerana ia membentuk struktur pasaran yang akhirnya mempengaruhi tingkah laku industri dan prestasi keseluruhan sektor.

 

“Dasar kerajaan sejak Rancangan Malaysia Pertama (RMK1) pada tahun 1971 telah melindungi industri ini dari peringkat input seperti baja hinggalah kepada pengimportan beras. Penubuhan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) ketika itu bertujuan memantau dan menggubal dasar sektor ini, namun berdepan isu tadbir urus serius dan kemudiannya di swastakan kepada BERNAS,” katanya di Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan (PKMK2025) di UPM.

 

Tambah beliau, Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang membenarkan monopoli beras oleh satu syarikat dan beliau berpandangan struktur tersebut menyumbang kepada pelbagai ketidakseimbangan pasaran dan menghalang daya saing sebenar industri padi tempatan.

 

“Jangan takut kepada liberalisasi kerana ada mekanisme untuk mengawal harga bagi melindungi pihak berkepentingan termasuk pesawah,” katanya.

 

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Dato’ Ir. Ismail Salleh, berkata usaha menambah pengeluaran sedang giat dijalankan melalui pelaksanaan lima musim penanaman dalam dua tahun dengan penggunaan benih padi 45 dan 90 hari serta sistem pengairan dan saliran yang baik.

 

“Kita sasarkan pengeluaran sebanyak tujuh metrik tan dalam tempoh beberapa tahun akan datang dan yakin sasaran ini mampu dicapai,” katanya.

 

Pandangan tersebut turut disokong oleh Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob yang menekankan kepentingan harga beras putih tempatan, harga padi dan harga benih dalam ekosistem industri.

 

“Masih terdapat manipulasi harga pasaran yang menyebabkan pesawah tidak mendapat pulangan setimpal walaupun harga siling ditetapkan.

 

“Walaupun harga kelihatan stabil, masih ada ruang dimanipulasi serta perlu ada semakan terhadap harga sebenar di pasaran agar lojing kecil tidak terpinggir,” katanya.

 

Dalam pada itu, Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Padi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Mohd Zulkifli Harun, berkata kementerian sedang melaksanakan pelan reformasi dasar padi dan beras negara sejak tahun lalu sebagai langkah memperkukuh industri dan menjamin keterjaminan makanan.

 

“KPKM tidak boleh beroperasi bersendirian dalam memastikan kemajuan industri padi dan kerjasama pelbagai pihak amat penting dalam memastikan bekalan makanan ruji ini terus terjamin,” katanya.

 

Dalam pada itu, PKMK2025 yang berlangsung hari ini anjuran UPM melalui ITAFoS adalah platform penting dalam menghimpunkan pakar, penyelidik dan penggiat industri bagi membincangkan isu, cabaran serta hala tuju dasar pertanian dan keterjaminan makanan negara.

 

 

 

WYGMDA~